Oleh Norhafiza Roslan
Jarak yang jauh sebenarnya banyak mengajar kita tentang erti sebuah “rumah”. Apabila kami bertujuh dari Universiti Malaya mendapat tugasan untuk mengajar di China, pelbagai rasa bercampur baur. Berhijrah ke negara asing yang sarat dengan perbezaan budaya, bahasa, dan gaya hidup merupakan satu langkah besar ke alam yang serba tidak diketahui. Sebaik sahaja mendarat, pelbagai persoalan bermain di fikiran tentang bagaimanakah kami mahu menyesuaikan diri dengan makanan, cuaca, dan jurang bahasa di sini. Namun, kami beruntung kerana dihantar sebagai satu pasukan. Perasaan bimbang bertukar menjadi satu perjalanan yang indah kerana kami saling melengkapi. Setiap cabaran kami tempuhi bersama, sekali gus menjadikan proses penyesuaian diri berasa sangat mudah.

Ribuan batu jauhnya di perantauan, kami sedar bahawa “rumah” itu bukan lagi sekadar satu lokasi di atas peta. Rumah adalah keakraban apabila mendengar logat Malaysia yang begitu dirindui, sikap prihatin untuk saling menjaga, serta keindahan sebuah kumpulan yang bermula sebagai rakan sekerja tetapi kini rapat bagaikan keluarga. Kami bertujuh, iaitu lima Melayu, seorang India, dan seorang Cina, kini tinggal, mengajar, dan meneroka kehidupan di China bersama-sama.
Bagi kami, perpaduan ini bukan sekadar konsep, tetapi dipraktikkan dalam kehidupan seharian.


Lihat sahaja rutin kami sewaktu membeli-belah di pasar raya tempatan. Memandangkan bungkusan makanan di sini menggunakan aksara Cina, usaha memilih bahan masakan yang sesuai untuk semua memang agak mencabar. Di sinilah indahnya sikap peka rakan India kami. Setiap kali berjumpa sesuatu yang menarik, beliau akan mengambil bungkusan tersebut dan menghulurkannya kepada saya untuk disemak status halalnya menerusi aplikasi di telefon bimbit. Beliau dengan sabar menanti di sebelah semata-mata mahu memastikan kami yang Muslim rasa yakin dan selamat dengan apa yang dibeli. Sebagai tanda saling menghormati, setiap kali kami keluar makan bersama pula, kami akan memastikan tiada sebarang hidangan daging lembu dipesan di meja supaya beliau dapat menikmati makanannya dengan tenang, selesa, dan rasa dihargai.
Rakan Cina kami pula banyak memudahkan urusan harian kami di sini. Sejak hari pertama lagi, beliaulah yang membantu kami memuat naik aplikasi penting seperti sistem pembayaran dan peta, mengajar cara menempah tiket kereta api laju, malah sempat mengajar kami frasa asas bahasa Cina untuk memudahkan urusan jual beli. Setiap kali kami meneroka kawasan makanan jalanan atau pasar malam, beliau tanpa teragak-agak akan ke depan dahulu untuk bercakap dengan peniaga. Beliau akan bertanyakan satu per satu sama ada makanan, sup, atau minyak yang digunakan berasaskan bahan halal atau sebaliknya, sementara menunggu kami selesai. Begitu juga jika percutian kami jatuh pada hari Ahad, kami amat memahami keperluan rakan Cina kami yang beragama Kristian untuk menghadiri kebaktian di gereja. Perbezaan ini langsung tidak mengganggu atau menyukarkan perancangan percutian kami, malah menjadikan setiap detik perjalanan berasa lebih lancar dan bermakna.
Sentimen merindui masakan tanah air pula langsung tidak menjadi isu buat kami kerana kami mewujudkan giliran memasak di kediaman. Sebaik sahaja selesai tugas mengajar, ruang dapur kami sentiasa diserikan dengan aroma pelbagai hidangan Malaysia seperti nasi lemak sambal udang, ayam masak lemak cili padi, aneka jenis kari, dan rendang. Suasana menjadi lebih menarik kerana kami berasal dari negeri yang berbeza. Rakan-rakan dari Utara begitu teruja menghidangkan kepakaran kawasan mereka yang kaya dengan rempah-ratus, manakala rakan dari Pantai Timur pula membawakan kelazatan resipi asli dari kampung halaman. Apabila berkumpul mengelilingi meja makan, cuaca sejuk dan suasana asing di luar terus menghilang, digantikan dengan gelak tawa serta keakraban kami bersama.
Di sini, masyarakat tempatan dan para pelajar jarang melihat suasana kepelbagaian rupa paras dan latar belakang hidup serta bekerja secara bersama dalam satu kumpulan. Justeru, pelajar-pelajar Cina dan rakan pensyarah tempatan sering kagum melihat keakraban kami bertujuh dari Universiti Malaya. Mereka sering bertanyakan bagaimana kami yang berbeza budaya dan agama ini boleh hidup bersama dengan begitu rukun dan mesra. Kami sentiasa tersenyum dan menjawab dengan penuh rasa bangga iaitu “This is Malaysia.”
Hari Malaysia kali ini membawakan sejuta makna buat saya. Berada ribuan batu dari tanah air mengajar kami bahawa perpaduan sebenar bukanlah terletak pada persamaan, tetapi pada keteguhan kita berdiri bahu ke bahu, merayakan perbezaan budaya, dan saling melengkapi tanpa ada yang terpinggir. Saya amat bersyukur dan bertuah dapat menggalas tugasan di China bersama barisan rakan pensyarah yang cukup luar biasa ini. Berada di samping rakan-rakan Melayu, Cina, dan India mengajar saya bahawa semangat perpaduan itu sentiasa hidup dan mekar di mana jua kita berada.

Penulis merupakan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)
