KOTA MASAI – Beberapa papan iklan besar calon Pakatan Harapan bagi DUN Tiram, Nor Zulaila, telah menjadi sasaran vandalisme apabila diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab. Perbuatan tersebut disifatkan sebagai tidak beretika dan wajar dikecam keras.

Nor Zulaila dan pasukan kempen beliau pada pagi ini mendapati bahawa dua papan iklan kempen yang masing-masing terletak di hadapan LOTUS di tepi jalan utama, serta di hadapan PETRONAS Jalan Nenas Utama, telah diconteng pada bahagian wajah beliau dengan huruf “S” yang besar, dipercayai dilakukan secara sengaja oleh pihak tertentu.
Nor Zulaila berkata beliau amat kesal dan berasa kecewa dengan insiden tersebut, namun pada masa yang sama menyeru semua pihak agar berkempen secara rasional, berhemah dan saling menghormati demi membina budaya politik yang sihat dan matang.
Beliau berkata, walaupun terdapat pihak yang memilih untuk merosakkan papan iklan kempen melalui perbuatan vandalisme, masih ramai yang memilih untuk mempertahankan nilai kesopanan dan rasa hormat.
“Saya juga ingin mengingatkan pasukan kempen, dan mengingatkan diri saya sendiri, bahawa politik yang matang harus dibina atas asas idea, dasar serta khidmat kepada rakyat, bukannya kebencian dan perbuatan merosakkan.”
Beliau menegaskan, “Apabila mereka bertindak dengan kebencian, kita membalas dengan maruah dan adab (When they go low, we go high) Saya percaya rakyat mengharapkan budaya politik yang beradab, berintegriti dan penuh hormat, bukannya kempen yang dipenuhi permusuhan dan vandalisme.”
