KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) — Sebanyak 85 peratus responden kajian yang dijalankan Kearney menyatakan TikTok membantu menjadikan pembelajaran lebih mudah diperoleh, manakala 72 peratus berkata platform itu menyokong peningkatan diri serta kemahiran bagi perkembangan kerjaya dan akademik.
Kajian tersebut turut mendapati 84 peratus responden menyatakan TikTok membantu menghubungkan pelbagai budaya.
Dapatan itu turut menunjukkan 65 peratus responden bersetuju bahawa platform berkenaan memupuk rasa kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia serta menggalakkan penglibatan komuniti tempatan.
Dalam aspek pembelajaran, pencipta kandungan TikTok tempatan dan guru tuisyen Fathi Hussein (@mathsanova) berkata pendidikan perlu lebih mudah diakses dan tidak terhad kepada bilik darjah fizikal.
“Pendidikan adalah milik semua orang dan perlu melangkaui bilik darjah fizikal. Apabila kita menjadikan sebuah topik pembelajaran seronok dan inklusif, kita menyemarakkan minat untuk belajar sepanjang hayat, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan,” katanya.
— LAGI
TIKTOK-KAJIAN PENGGUNA 2 KUALA LUMPUR
Guru Bahasa Inggeris berpengalaman lebih 25 tahun Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim (@sir_asai) berkata kandungan tutorial sebutan yang dikongsinya menerusi TikTok menjadikan pembelajaran lebih mudah didekati.
“Jutaan rakyat Malaysia yang menonton untuk belajar secara sukarela membuktikan bahawa apabila pendidikan disampaikan secara menghiburkan dan mudah didekati, kita mampu memartabatkan seluruh komuniti melalui perkongsian ilmu,” katanya.
Sementara itu, Ku Sim Ling (@professionalbimbo) yang dikenali sebagai Aunty HR di TikTok berkata pengalaman lebih 20 tahun dalam industri penyelesaian tenaga kerja mendorongnya berkongsi pengetahuan berkaitan hak pekerja dan majikan kepada komuniti lebih luas menerusi platform digital.
Dalam aspek budaya, Chin Pui Ting (@deadpudds) yang dikenali sebagai Pudds melalui TikTok dan menghasilkan siri kandungan ‘Mystical Malaysia’ berkata perkongsian mengenai kepelbagaian budaya dan tradisi Malaysia dapat membantu meningkatkan kefahaman terhadap komuniti di sekeliling mereka.
Dalam pada itu, penglibatan dalam kandungan berkaitan budaya turut membuka ruang kepada usahawan tempatan seperti Nur Farrah Diba Azhar (@farrahdibakuihbakul) dan Haniesah Lai Abdullah (@mamacahkitchen) menawarkan variasi mesra Muslim bagi sajian tradisional Cina seperti nian gao dan bak chang di TikTok Shop.
— LAGI
TIKTOK-KAJIAN PENGGUNA 3 KUALA LUMPUR
Penyelidik Muhammad Azamudeen Mohammad Nasir (@azamuddeennasir) dari Pekan yang sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang Ekologi dan Genetik Ikan Paya Gambut turut berkongsi kandungan berkaitan alam semula jadi dan sains menerusi TikTok.
Beliau berkata komuniti dalam talian kini berkembang melangkaui hiburan semata-mata dengan platform digital turut menjadi saluran bagi wacana awam, kemajuan sosial serta pemuliharaan biodiversiti negara.
Aktivis hak asasi manusia dan pengasas Mekar Kami Roshinee Mookaiah (@roshineemookaiah) pula memanfaatkan ruang dalam talian untuk memperjuangkan penglibatan sivik menerusi petisyen ‘Dilarang Ponteng Parlimen’ menerusi TikTok, yang berjaya mengumpulkan 1,475 tandatangan.
Dalam pada itu, kajian berkenaan mendapati 79 peratus responden menggunakan TikTok untuk meneroka hobi, manakala 77 peratus memanfaatkannya bagi membantu mengurus tekanan.
Atlet luncur ais kebangsaan dan pemenang dua pingat emas Sukan SEA Ashley Chin (@hyeminkiim_) berkata perkongsian perjalanan dan latihannya menerusi TikTok membolehkan sukan itu menjangkau khalayak lebih luas, sekali gus menyuntik inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk kekal aktif demi minda dan fizikal yang sihat.
— LAGI
TIKTOK-KAJIAN PENGGUNA 4 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Turut berkongsi minat dalam bidang kreatif ialah Jello Belly (@jellybelyyy), Mohamad Arif Ameerais Azhar (@ameerais) dan Yumi (@jo.ppc1231) yang berkongsi bakat dalam nyanyian serta muzik menerusi TikTok LIVE sebagai sumber pendapatan.
Pada masa sama, organisasi kesihatan mental melalui TikTok seperti MIASA Malaysia (@miasa.malaysia), The Inner Lynk (@theinnerlynk) dan Sage Centre (@thesagecentre) berkongsi tip berkaitan kesejahteraan diri serta pengurusan tekanan.
Kaunselor bertauliah merangkap Pengarah Urusan The Inner Lynk Gia G. Kon berkata perbincangan secara terbuka mengenai kesihatan mental menerusi komuniti dalam talian dapat membantu mengurangkan stigma dan menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan sokongan.
“Disebabkan stigma, sesi terapi kadangkala dianggap sukar diperoleh oleh ramai orang. Apabila kita berbincang secara terbuka mengenai kesihatan mental, kita memecahkan kesunyian akibat pengasingan diri dan mendemokrasikan sokongan emosi,” katanya.
Kajian yang melibatkan 1,003 rakyat Malaysia itu terdiri daripada 59 peratus responden wanita dan 41 peratus lelaki, dengan 990 orang menggunakan TikTok sekurang-kurangnya sekali seminggu.
— BERNAMA
TAG: TikTok, kajian, pembelajaran, responden, pencipta kandungan
