JOHOR BAHRU, 7 JUN – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong berkata sebanyak RM121 juta pembiayaan telah disalurkan oleh Bank Rakyat kepada 150 usahawan di Johor dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sebagai usaha memperkukuh daya tahan dan pertumbuhan PMKS di negeri berkenaan.
Beliau berkata angka tersebut menunjukkan permintaan yang kekal tinggi terhadap pembiayaan perniagaan, khususnya dalam kalangan PMKS yang sedang berdepan peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan ekonomi global.
“Usahawan hari ini memerlukan lebih daripada sekadar modal. Mereka memerlukan bimbingan, akses pasaran, jaringan perniagaan dan sokongan yang berterusan untuk berkembang dengan lebih mampan dan berdaya saing.
“Bank Rakyat telah membuktikan bahawa institusi kewangan boleh memainkan peranan yang lebih besar sebagai pemudah cara pertumbuhan dan pemangkin kejayaan usahawan,” kata beliau selepas mengadakan lawatan ke Cawangan Bank Rakyat dan Pusat Perbankan Perniagaan Bank Rakyat di Johor Bahru hari ini.
Dalam lawatan yang sama, beliau turut menyampaikan pembiayaan keseluruhan bernilai RM1.53 juta kepada tiga usahawan Johor, antaranya:
1. RM1 juta kepada Diesel Truck Sdn. Bhd. melalui BR Prosper-i; 2. RM500,000 kepada Stesen Minyak Perintis melalui BRPlus-i; dan 3. RM25,000 kepada Ho Jin Yuan melalui BRJohorNiaga.
Tambah beliau, pembiayaan yang disalurkan akan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, meneroka peluang pasaran baharu, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Lawatan kerja tersebut turut diadakan bersempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 yang berlangsung di Angsana Mall Johor Bahru dari 5 hingga 7 Jun 2026. Karnival itu menghimpunkan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan termasuk latihan keusahawanan, sesi padan niaga, akses pembiayaan dan promosi produk tempatan.
