KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X JAGO Tahun 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, membuka tirainya hari ini dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme bersempena dengan Bulan Kebangsaan.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata konvoi yang bermula di Pasar Taman Seri Sentosa, Lembah Pantai itu akan menjelajah enam lokasi persinggahan sekitar ibu negara hari ini.
“Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan melakukan enam persinggahan di seluruh Kuala Lumpur, termasuk Taman Tasik Metropolitan Kepong, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail, Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh.
“(Seterusnya) di Hospital Rehabilitasi Cheras, Petronas Cochrane Perkasa dan berakhir di NZ Curry House Wangsa Maju,” katanya ketika ditemui media, sebelum acara pelepasan program itu.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata edisi kali ini, melibatkan kira-kira 35 peserta bersama dengan 10 kenderaan agensi kerajaan.
— LAGI
FAHMI-KMJG 2 KUALA LUMPUR
Ini termasuk Jabatan Penerangan (JAPEN), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Radio Televisyen Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Antara tarikan utama program kali ini ialah penggunaan kenderaan pelbagai guna (MFV) JAGO (JAPEN Arena Penggerak Komuniti) yang dilengkapi skrin LED gergasi, bagi memainkan lagu-lagu patriotik sepanjang siri kembara.
Fahmi berkata program itu turut menjadi platform, untuk mendekati masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang menggalakkan penglibatan komuniti setempat.
“Di setiap persinggahan, kit 1Rumah 1Jalur Gemilang akan diedarkan kepada wakil kluster, selain edaran Jalur Gemilang kepada masyarakat, persembahan kebudayaan, nyanyian lagu-lagu patriotik dan kuiz kenegaraan.
“Ini antara program untuk menyemarakkan lagi semangat rasa cinta pada negara, memberi aktiviti kepada komuniti termasuk Komuniti MADANI dan merapatkan hubungan di antara pelbagai komuniti. Saya percaya ini akan mampu menambah rasa cinta pada negara dan menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan,” katanya.
— LAGI
FAHMI-KMJG 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Terdahulu, Fahmi menyerahkan Kit Jalur Gemilang kepada Ketua Komuniti MADANI Taman Seri Sentosa Mohammad Sarizal Mohd Ali, serta mengagihkan Jalur Gemilang kepada pengunjung bagi memeriahkan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Program anjuran JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) itu, merupakan inisiatif turun padang secara bersepadu bagi menggalakkan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kebanggaan negara.
Majlis penutup di lokasi terakhir iaitu NZ Curry House, Wangsa Maju akan disempurnakan Pengarah Penerangan WPKLP Normaizatulakmal Tujad dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Setiawangsa Datuk Afdlin Shauki Aksan.
Pelbagai aktiviti kebudayaan turut dijadualkan berlangsung di lokasi berkenaan, termasuk persembahan kompang, gendang India dan gendang Cina, selain penyerahan Kit Jalur Gemilang serta persembahan PENTARAMA @JAGO.
— BERNAMA
TAG: Fahmi Fadzil, WPKLP, KMJG, JAPEN, Jalur Gemilang
