KUALA LUMPUR, 21 JULAI 2026 – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) merupakan hospital pengajar universiti awam pertama di Malaysia yang telah berjaya menggunakan mesin Automated Medication Dispensing Cabinet (ADC). Majlis telah dirasmikan oleh Ybhg. Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya dan turut hadir bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Pengurusan Tertinggi Universiti Malaya pada hari ini.


Mesin ADC merupakan sistem pembekalan ubat yang mengguna pakai elemen automasi bagi mempercepatkan proses pembekalan ubat. Pelaksanaan teknologi ini di kawasan klinikal bukan sahaja dapat memperkukuh kecekapan operasi, malah meningkatkan produktiviti kakitangan kesihatan dalam penyampaian penjagaan pesakit pada tahap optimum.


PPUM telah mula melaksanakan penggunaan mesin ADC secara meluas di semua wad sejak Februari 2026 dan merupakan hospital pengajar awam pertama di Malaysia yang mengintegrasikan teknologi ini dalam operasi serta tatacara kerja hospital. Kejayaan pelaksanaan ini merupakan hasil kerjasama pelbagai jabatan, termasuk Jabatan Farmasi, Pusat Infrastruktur Hospital, Jabatan Teknologi Digital dan Jabatan Kejururawatan.
Selain sesi perasmian, para tetamu kehormat turut diberikan penerangan mengenai mesin ADC dan berpeluang menyaksikan demonstrasi penggunaannya bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang impak positif teknologi ini dalam memperkemas dan melancarkan aliran kerja.
PPUM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada syarikat SCHMIDT BioMedTech Sdn. Bhd. atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan majlis pelancaran ini.
Majlis Perasmian Pelancaran Mesin ADC 2026 ini mencerminkan komitmen berterusan PPUM dalam memperkukuh budaya inovasi dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan demi memastikan setiap pesakit menerima rawatan yang bertaraf global, selamat dan efisien.
