DUNGUN, 5 Sept – Kemunculan semula penyu belimbing di perairan Terengganu selepas hampir sedekad tidak mendarat di pantai negeri itu mencetuskan harapan baharu dalam kalangan pemajak telur penyu untuk melihat spesies berkenaan kembali bersarang di Rantau Abang.
Pemajak telur penyu di Pantai Pasir Putih, Marang, Mohd Amirudin Maznan, 36, berkata dia tidak sabar menunggu kemunculan semula ‘Raja Penyu’ itu yang dijangka mendarat kali kedua di lokasi berkenaan antara 10 hingga 12 Sept ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, penyu belimbing lazimnya mendarat sehingga tiga kali dalam satu musim untuk bertelur.
“Pada Rabu lepas, saya hanya menemukan sarangnya yang mengandungi 44 biji telur tanpa sempat melihat penyu berkenaan.
“Jadi, selepas ini saya akan meningkatkan rondaan bagi mengesan kehadiran penyu belimbing sekiranya ia kembali mendarat,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan telur penyu belimbing di Pantai Pasir Putih, di sini hari ini.
Sementara itu, pemajak telur penyu di Pantai Rantau Abang, Mohd Salleh, 79, menyambut baik kemunculan semula spesies penyu terbesar di dunia itu selepas tidak mendarat di pantai Terengganu sejak 2017.
Katanya, kehadiran penyu belimbing di Marang membuktikan perairan Terengganu masih menjadi sebahagian daripada laluan migrasi spesies berkenaan.
“Ini memberi harapan supaya Rantau Abang kembali menjadi lokasi utama pendaratan penyu belimbing seperti yang pernah berlaku pada 1970-an dan 1980-an,” katanya.
Pemajak telur penyu yang dilantik Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turut menjalankan rondaan berkala bagi mengesan penyu mendarat dan memastikan kawasan sarang bebas daripada gangguan.
Telur yang ditemukan akan dikutip mengikut prosedur ditetapkan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk dieramkan di pusat penetasan, sekali gus meningkatkan peluang kelangsungan hidup anak penyu.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pusat (JPKKP) Rantau Abang, Atan Mat Nor, 64, berharap kemunculan semula penyu belimbing menjadi titik tolak kepada usaha mengembalikan kegemilangan Rantau Abang sebagai destinasi pendaratan spesies berkenaan.
Katanya, ketiadaan pendaratan penyu belimbing sejak 2017 menyebabkan generasi muda semakin jarang berpeluang melihat sendiri spesies berkenaan yang pernah menjadi tarikan utama pelancongan di Rantau Abang.
“Usaha pemuliharaan dan perlindungan habitat penyu perlu diperkasakan secara berterusan supaya Rantau Abang kembali dikenali sebagai antara lokasi penting pendaratan penyu belimbing.
“Ini juga memberi peluang kepada masyarakat dan pelancong menyaksikan sendiri keunikan spesies yang semakin terancam ini,” katanya.
