KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Haji Ahmad Azam bin Ab Rahman sebagai Pengerusi PPZ-MAIWP yang baharu berkuat kuasa 21 April 2026 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan beliau merupakan langkah strategik dalam memastikan kesinambungan kepimpinan PPZ-MAIWP, khususnya dalam memperkasa fungsi kutipan zakat dan wakaf secara lebih tersusun dan inovatif demi kesejahteraan ummah. Beliau mengisi kekosongan jawatan yang sebelum ini disandang oleh Dato’ Seri Amrin Awaluddin yang telah menamatkan perkhidmatannya pada 14 Februari 2026.
Profil Kepimpinan Berwibawa
YBhg. Dato’ Haji Ahmad Azam, 66, merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam aktiviti kemanusiaan, diplomasi antarabangsa serta pembangunan masyarakat. Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Indiana State University dan Ijazah Sarjana Pentabdiran Perniagaan dari Stephen F. Austin State University.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai peranan di beberapa buah organisasi termasuk MARA, Institut Kajian Dasar serta sebagai tenaga pengajar di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam.
Antara sorotan kerjaya dan sumbangan utama beliau termasuk:
- Kepimpinan NGO & Masyarakat: Merupakan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
- Misi Kemanusiaan Global: Pengasas Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang telah mengetuai misi di lebih 30 buah negara konflik dan bencana.
- Diplomasi & Hak Asasi: Pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya OIC Independent Permanent Human Rights Commission (2019–2025) dan kini merupakan Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
- Sumbangan Dasar: Menggalas tanggungjawab sebagai Penasihat Khas Menteri Luar Negeri.
- Anugerah: Menerima Anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2021, Anugerah Khas Individu Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun 2023, selain turut menerima pengiktirafan antarabangsa daripada Kerajaan Kemboja iaitu Royal Order of Monisaraphon Moha Sena (2015) dan Royal Order of the Kingdom of Cambodia, Commander (2012).
Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan warga kerja PPZ-MAIWP merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan YBhg. Dato’ Haji Ahmad Azam dan yakin pengalaman luas serta kepimpinan strategik yang dimiliki akan terus memperkukuh kelangsungan tadbir urus serta keberkesanan operasi kutipan zakat dan wakaf di Wilayah Persekutuan.
