KUALA LUMPUR 4 April 2026 – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Wilayah Persekutuan bersama Pertubuhan Patuh Teguh Yakin (PTY Malaysia) telah menganjurkan Majlis Tautan Mahabbah Aidilfitri 2026 buat kali kedua, dengan kehadiran dianggarkan seramai 5,000 orang dari seluruh negara.
Majlis yang berlangsung pada 4 April 2026 (Sabtu) bermula jam 8.00 malam hingga 11.30 malam di IWK Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu turut diserikan dengan kehadiran golongan yang memerlukan.
Menurut Pengerusi PEKIDA Daerah Putrajaya yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PEKIDA Malaysia – Biro Perhubungan NGO, Saiful Azril Shariff, majlis ini memberi tumpuan khusus kepada golongan asnaf, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak yatim.
“Lebih bermakna lagi, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran anak-anak yatim yang masing-masing menerima duit raya, manakala seramai lebih 20 orang asnaf dan dalam 10 orang OKU turut hadir sebagai penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata majlis rumah terbuka ini merupakan platform untuk mengeratkan ukhuwah, memperkukuh silaturahim serta menyemai nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat.


“Alhamdulillah, kehadiran yang menggalakkan pada malam ini membuktikan komitmen berterusan PEKIDA Wilayah Persekutuan bersama PTY Malaysia dalam menyantuni golongan yang memerlukan,” tambahnya.
Saiful Azril turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Izhar Yusof yang hadir mewakili Datuk Fahmi Fadzil untuk merasmikan majlis pada malam itu.

Beliau juga menyampaikan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya PEKIDA Daerah Putrajaya, PEKIDA Daerah Kuala Lumpur serta rakan strategik PTY Malaysia atas komitmen dan kesungguhan menjayakan majlis tersebut.
Majlis yang penuh meriah ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan silaturahim di kalangan masyarakat dan segala usaha yang dilaksanakan terus mendapat keberkatan, insyaAllah.
