PUTRAJAYA 7 April 2026 – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Daerah Putrajaya mengeluarkan kenyataan media rasmi yang tegas, memberi amaran keras dan tanpa kompromi kepada mana-mana individu yang masih berdegil memandu di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kenyataan bertajuk “Amaran Tegas: Tiada Kompromi Terhadap Pemandu Mabuk” yang dikeluarkan hari ini, PEKIDA Daerah Putrajaya menegaskan bahawa perbuatan memandu mabuk merupakan jenayah serius yang langsung mengancam keselamatan serta nyawa orang awam.
“Perbuatan ini merupakan jenayah serius yang secara langsung mengancam keselamatan serta nyawa orang awam dan tidak boleh sama sekali dipandang ringan dalam mana-mana keadaan,” kata Saiful Azril bin Shariff, Pengerusi PEKIDA Daerah Putrajaya yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PEKIDA Malaysia merangkap Biro Perhubungan NGO.
Saiful turut menyatakan kebimbangan terhadap trend peningkatan kes melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, yang menunjukkan masih terdapat segelintir pihak yang memandang ringan soal keselamatan awam. Sikap ini dianggap tidak bertamadun, tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.
Sehubungan itu, PEKIDA Daerah Putrajaya menuntut lima perkara utama:
- Tindakan penguatkuasaan maksimum oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi, pilih kasih atau layanan istimewa kepada mana-mana pesalah.
- Hukuman yang lebih berat, tegas dan setimpal dikenakan agar menjadi pengajaran keras serta pencegahan berkesan.
- Penambahbaikan undang-undang sedia ada, termasuk hukuman mandatori yang lebih berat bagi kes melibatkan kecederaan dan kematian.
- Peringatan keras kepada masyarakat bahawa sikap sambil lewa terhadap isu ini hanya akan mengundang tragedi yang lebih besar.
- Orang ramai tampil berani dengan melaporkan segera mana-mana individu yang memandu dalam keadaan mencurigakan atau disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.
PEKIDA Daerah Putrajaya juga mengumumkan komitmennya untuk memainkan peranan aktif melalui kempen kesedaran, advokasi masyarakat, program pendidikan serta pendekatan dakwah, khususnya kepada golongan muda.
“Kami percaya bahawa usaha membanteras gejala ini bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa sematamata, tetapi memerlukan kerjasama seluruh lapisan masyarakat,” tegas Saiful.
