Oleh Dr. Nurdianah Harif Fadzilah
Setiap kali tibanya Aidiladha dan Awal Muharam, umat Islam sering berbicara tentang dua perkara besar, iaitu korban dan hijrah. Kedua-duanya kelihatan berbeza, namun hakikatnya membawa roh yang sama, iaitu pengorbanan demi mencari reda Allah SWT.
“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu” (Surah al-Hajj, 22:37).
Ayat ini membawa satu mesej yang sangat besar. Islam tidak memandang ibadah korban hanya pada aspek ritual semata-mata, tetapi pada hati yang berubah selepas melaksanakan ibadah itu.
Setiap ibadah korban sepatutnya melahirkan satu bentuk hijrah dalam diri manusia. Sejauh mana ibadah tersebut membentuk hati manusia menjadi lebih taat, ikhlas dan dekat kepada Tuhan.
Korban bukan sekadar kisah sembelihan haiwan. Hijrah pula bukan hanya catatan sejarah perpindahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Jika dilihat dengan lebih mendalam, kedua-duanya mengajar manusia tentang keberanian untuk melepaskan sesuatu yang dicintai demi sesuatu yang lebih bernilai di sisi Allah SWT.
Nabi Ibrahim AS diuji dengan sesuatu yang paling disayangi, iaitu anaknya sendiri. Rasulullah SAW pula meninggalkan tanah air dan kehidupan yang telah lama dibina demi mempertahankan akidah dan menyelamatkan umat. Kedua-dua kisah agung ini memperlihatkan bahawa jalan menuju kebaikan tidak pernah sunyi daripada pengorbanan.
“Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini sangat dekat dengan realiti kehidupan manusia hari ini. Hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi keberanian meninggalkan perkara yang menjauhkan diri daripada Allah SWT.
Namun persoalannya, apakah bentuk korban dan hijrah manusia moden hari ini?
Barangkali ramai menyangka pengorbanan hanya berlaku dalam perkara besar. Sedangkan dalam kehidupan seharian, kita sebenarnya sedang diuji dengan pelbagai bentuk korban kecil yang menentukan nilai diri di sisi Allah SWT.
Dalam realiti kehidupan hari ini, tempat kerja juga menjadi medan korban dan hijrah. Ada yang keluar rumah seawal pagi dan pulang lewat petang demi mencari rezeki halal untuk keluarga. Ada yang tetap memilih jalan jujur dan menolak budaya kerja yang tidak berintegriti. Ada yang sedang berhijrah daripada bekerja sambil lewa kepada bekerja dengan lebih amanah, ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Semua itu sebagai medan korban. Ia mungkin tidak dipandang besar oleh manusia, tetapi sangat bernilai di sisi Allah SWT kerana bekerja dengan penuh tanggungjawab juga sebahagian daripada ibadah dan pengorbanan seorang hamba.
Begitu juga hijrah. Tidak semua hijrah memerlukan perpindahan tempat. Ada hijrah yang berlaku secara senyap dalam hati manusia. Hijrah daripada lalai kepada sedar. Hijrah daripada marah kepada sabar. Hijrah daripada hidup tanpa arah kepada kehidupan yang lebih dekat dengan Tuhan.
Hakikatnya, hijrah yang paling sukar bukan mengubah lokasi, tetapi mengubah diri sendiri.
Kadangkala, ujian kesakitan seperti yang dilalui oleh pesakit kanser, menjadikan mereka lebih menghargai keluarga, masa, kesihatan dan nilai sebuah kehidupan. Ramai pesakit yang menemukan kekuatan spiritual yang paling besar ketika tubuh mereka sedang melalui ujian yang paling berat.
Dalam satu kajian bertajuk “The Effect of Hajj Trip on Mental Health: A Longitudinal Study” pada tahun 2020, penyelidik mendapati pengalaman spiritual dan ibadah yang dilakukan secara ikhlas mampu meningkatkan kesejahteraan psikologi, mengurangkan tekanan emosi serta memberikan makna hidup yang lebih mendalam kepada individu.
Dalam dunia hari ini, manusia terlalu mudah diukur dengan apa yang dimiliki. Media sosial menjadikan ramai berlumba-lumba mempamerkan kejayaan, kemewahan dan kesempurnaan hidup. Namun di sebalik semua itu, ramai sebenarnya sedang keletihan secara emosi.
Di sinilah pentingnya roh korban dan hijrah dihidupkan semula.
Ibadah korban mengajar manusia melepaskan sifat terlalu cintakan dunia. Apabila hati semakin kurang terikat dengan dunia, proses hijrah juga akan menjadi lebih mudah. Manusia tidak mampu menjadi sempurna dalam masa yang singkat, tetapi Islam mengajar manusia supaya jangan berhenti memperbaiki diri.
Awal Muharam bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar Islam. Ia sepatutnya menjadi ruang muhasabah untuk bertanya kepada diri, apakah perkara yang perlu aku tinggalkan untuk menjadi manusia yang lebih baik?
Semoga Aidiladha mengajar kita erti keikhlasan dalam berkorban. Semoga Awal Muharam pula membuka ruang untuk kita memulakan hijrah yang baharu.
Dan mudah-mudahan, walau sebesar mana pun dosa dan kelemahan masa lalu, kita tidak pernah kehilangan harapan untuk berubah. Selagi hati masih mahu kembali kepada Allah SWT, selagi itu pintu hijrah masih terbuka luas.
Penulis merupakan Pegawai Penyelidik di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.
