Ditulis oleh: Dato’ Sri Amir Hussien
Dalam keadaan dunia hari ini, kita semua sedang berdepan cabaran yang besar. Berlaku konflik dan
peperangan di beberapa negara, harga barang dunia naik, rantaian bekalan terganggu, dan ekonomi
global tidak menentu.
Semua ini memberi kesan terus kepada rakyat daripada kos makanan, harga minyak, sehinggalah
kepada peluang pekerjaan.
Ini realiti yang kita tidak boleh nafikan.
Hakikatnya, banyak tekanan yang kita rasa hari ini datang dari luar negara.
Namun dalam masa yang sama, keadaan dalam negara juga sangat penting. Jika kita sendiri
mewujudkan suasana yang penuh dengan keraguan, kritikan berlebihan dan ketidakstabilan
persepsi, kita sebenarnya menambah tekanan kepada rakyat.
Malaysia ketika ini masih berada dalam keadaan yang stabil. Ekonomi negara berkembang dalam
lingkungan sekitar 4% hingga 5%, manakala kadar inflasi berada sekitar 1.7%, menunjukkan tekanan
harga masih terkawal berbanding banyak negara lain.
Dalam masa yang sama, Malaysia terus mencatat aliran pelaburan yang kukuh dalam sektor
strategik seperti teknologi, tenaga dan industri bernilai tinggi.
Ini menunjukkan asas ekonomi kita masih kukuh. Tetapi dalam dunia hari ini, keyakinan itu sangat
penting.
Kalau rakyat hilang keyakinan, pelabur pun akan mula ragu-ragu.
Dan di sinilah kita perlu jujur melihat keadaan semasa.
Kebelakangan ini, kita melihat kritikan terbuka yang berterusan terhadap kerajaan, termasuk
daripada Datuk Seri Rafizi Ramli.
Kritikan itu tidak salah. Dalam demokrasi, memang perlu ada semak dan imbang. Tetapi bila kritikan
melulu terlalu kerap, terlalu keras, dan tidak disertakan dengan fakta dan jalan penyelesaian yang
jelas ia boleh menjadi satu masalah.
Sebab akhirnya, rakyat akan jadi keliru menjadi mangsa.
Pelabur pula melihat Malaysia seolah-olah tidak stabil.
Soalan yang kita perlu tanya secara jujur,
Adakah kita benar-benar mahu membantu negara?
Atau kita hanya menambah keresahan?
Mengkritik bukan satu pencapaian.
Mengkritik tanpa membantu itu bukan kepimpinan.
Sebagai seorang yang pernah menjadi menteri dan berada dalam kerajaan, Rafizi Ramli perlu lebih
dewasa dalam pendekatan, tidak bersikap keanak anakan serta perlu berbesar hati dalam menerima
perbezaan dan memainkan peranan sebagai pembina bukan sekadar pengkritik.
Rakyat sudah tidak hanya mahu dengar apa yang tidak kena.
Rakyat mahu tahu apa solusi. Apa pelan, apa tindakan.
Dalam dunia politik, perubahan peranan itu perkara biasa. Tidak semua orang akan sentiasa berada
di barisan hadapan. Namun itu bukan alasan untuk meluahkan kekecewaan melampau secara
terbuka sehingga dengan sengaja mahu menjejaskan keyakinan rakyat.
Jangan terlalu kecewa hanya kerana dilihat tidak lagi berada di hadapan. Kepimpinan sebenar bukan
pada posisi tetapi pada keupayaan untuk terus menyumbang dengan matang dan membina.
Hari ini, ramai rakyat sedang berdepan kesusahan.
Ada yang bergelut dengan kos hidup.
Ada yang risau tentang kerja.
Ada yang terkesan dengan keadaan global dan kesan peperangan.
Dalam keadaan macam ini, rakyat tidak perlukan lebih banyak drama.
Rakyat perlukan ketenangan, arah yang jelas dan harapan.
Jika benar ada perkara yang tidak dipersetujui, maka cara yang lebih baik adalah, duduk berbincang
secara matang
Adakan pertemuan dengan pemegang taruh bawa cadangan yang boleh dilaksanakan.
Itu lebih membantu daripada sekadar bercakap di pentas terbuka, podcast atau perhimpunan yang
akhirnya boleh menjatuhkan keyakinan terhadap negara.
Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ini, adalah lebih baik kita semua menumpukan
tenaga untuk membantu kerajaan membina negara ke hadapan, daripada terus mengkritik tanpa
henti.
Kritikan yang membina sangat dialu-alukan.
Tetapi kritikan tanpa solusi hanya melemahkan keadaan.
Negara tidak akan maju jika kita hanya sibuk mencari kesalahan.
Negara akan maju apabila kita bersama-sama membina penyelesaian.
Ini bukan masa untuk berpolitik secara berlebihan.
Ini masa untuk bersatu dan fokus kepada masa depan.
Kita harus fikirkan generasi akan datang.
Apa yang kita lakukan hari ini akan memberi kesan kepada mereka esok.
Malaysia sebenarnya ada potensi yang besar.
Asasnya kuat. Peluangnya luas.
Tetapi untuk capai semua itu, kita perlukan,
Kestabilan, Kerjasama ,Kepimpinan yang matang ,bukan konflik yang berpanjangan.
Akhirnya, kekuatan sesebuah negara bukan hanya pada ekonomi, tetapi pada sikap rakyat dan
pemimpinnya.
Kalau kita terus bertelagah, kita akan lemah. Kalau kita bekerjasama, kita akan kuat dan kurangkan
retorik dan kepentingan peribadi yang berlebihan.

Dato’ Sri Amir Hussien CEO Fakulti Program, Fakulti Komputeran dan Informatik.
