KUALA LUMPUR, 11 April 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bin Hj. Ismail memuji dedikasi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakan strategik atas kejayaan Op Selamat 25 dan 26 Tahun 2026, walaupun mencatatkan sedikit peningkatan kemalangan dan kes maut.
Dalam teks ucapannya pada Majlis Apresiasi Op Selamat 25 & 26 yang berlangsung malam semalam di Dewan Pengaman, Pulapol Kuala Lumpur, KPN menegaskan bahawa kedua-dua operasi yang dijalankan sempena Tahun Baharu Cina 2026 dan Hari Raya Aidilfitri 2026 berjaya memenuhi visi mengurangkan kemalangan, meminimumkan kehilangan nyawa serta memastikan kelancaran trafik sambil memperkukuhkan pencegahan jenayah.
“Op Selamat digerakkan dengan visi yang tuntas, iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan, meminimumkan angka kehilangan nyawa serta memastikan kelancaran aliran trafik termasuk aktiviti pencegahan jenayah melalui respons yang pantas dan cekap,” katanya.
Antara kejayaan yang dikongsi ialah rondaan berkala Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke atas 61,122 rumah yang berjaya menurunkan kes jenayah daripada 858 kes pada tahun 2025 kepada 747 kes kali ini. Aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) yang kini mempunyai lebih 1.7 juta pengguna juga menunjukkan peningkatan drastik apabila 16,889 pengguna menggunakan modul pemakluman balik kampung berbanding hanya 8,036 tahun sebelumnya – iaitu peningkatan lebih sekali ganda.
KPN turut menyeru supaya pendekatan holistik yang melibatkan sinergi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), penggunaan dron Pasukan Gerakan Udara serta konsep “Pre-Emptive Services”, “Total Enforcement”, “Kongsi Perjalanan, Kongsi Keselesaan” dan “Keselamatan Diutamakan” diteruskan.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui cabaran yang masih ada apabila statistik menunjukkan peningkatan hampir 1% jumlah kemalangan iaitu 9,934 kes berbanding 9,859 kes operasi sebelum ini. Lebih membimbangkan, kes kemalangan maut naik hampir 17 peratus daripada 77 kes kepada 90 kes. Sementara itu, sebanyak 144,726 saman dikeluarkan – peningkatan 34.8 peratus berbanding 107,365 saman Op Selamat 24.
“Justeru itu, saya menyeru setiap pengguna jalan raya sentiasa beringat untuk mematuhi undang-undang, bersabar, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, dan mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Ingatlah, nyawa tiada galang gantinya,” tegas KPN.
Beliau merakamkan penghargaan khas kepada penaja utama Kumpulan Telekom Malaysia Berhad dan PLUS Malaysia Berhad serta rakan strategik lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, St. John Ambulance, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
PDRM akan menganugerahkan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada rakan strategik serta Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 25 & 26 sebagai tanda pengiktirafan.
Sebelum mengakhiri ucapan, KPN mengucapkan Selamat Ulang Tahun ke-10 kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan menyeru agar momentum kecemerlangan ini ditingkatkan dengan strategi yang lebih inovatif demi keselamatan rakyat Malaysia.
