BANGI, 2 September 2026 – Kerjasama antara kerajaan, agensi penguatkuasaan, akademia dan industri perlu diperkasa bagi memperkukuh kebingkasan siber negara dalam menghadapi ancaman digital yang semakin kompleks.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan bersepadu penting bagi memastikan negara bukan sahaja berupaya mencegah ancaman siber, malah bersedia bertindak balas, memulihkan keadaan dan menyesuaikan diri ketika berlaku gangguan terhadap sistem kritikal.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kebingkasan Siber 2026 Kali Ke-6 atau The 6th International Cyber Resilience Conference (CRC 2026) di Bangi Resort Hotel, hari ini.
Persidangan bertemakan “Mengemudi Cabaran dan Peluang dalam Kebingkasan Siber Global” itu menghimpunkan kerajaan, agensi penguatkuasaan, akademia, penyelidik serta pemain industri dari dalam dan luar negara.
Keperluan memperkukuh kebingkasan siber semakin mendesak susulan peningkatan kes jenayah dalam talian.

Sepanjang 2025, sebanyak 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM2.97 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 29,434 kes direkodkan dengan kerugian RM827.73 juta.
Dalam tempoh sama, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berjaya memulangkan RM3.57 juta kepada mangsa, iaitu 49 peratus daripada RM7.25 juta dana yang disita.
Perkembangan kecerdasan buatan (AI), termasuk penyalahgunaan teknologi deepfake, turut menambah cabaran kepada usaha pengesanan, forensik digital dan penguatkuasaan.
Justeru, kebingkasan siber perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek teknologi, kesedaran pengguna, kesiapsiagaan, pemulihan mangsa serta pencegahan berasaskan tingkah laku manusia.
CRC 2026 yang berlangsung selama tiga hari secara hibrid itu disertai kira-kira 321 peserta secara fizikal dan 149 peserta dalam talian dari dalam serta luar negara.
Sebanyak 160 kertas penyelidikan diterima dengan kadar penerimaan 61.30 peratus, meliputi tiga trek utama iaitu Kajian Jenayah Siber, Keselamatan Siber dan Teknologi Siber Termaju.
Dua forum berkaitan Cyber Crime Fusion Centre (CCFC) turut menjadi antara fokus utama persidangan, selaras dengan Kajian Penubuhan CCFC yang kini memasuki fasa kedua.

Fasa berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan Model Governan dan Model Operasi bagi CCFC.
Kajian itu dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri melalui Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), dengan kerjasama Pertubuhan Akademia Keselamatan Siber Malaysia (CSAM) serta rakan strategik berkaitan.
Sejak diperkenalkan pada 2018, CRC berkembang daripada sebuah persidangan kepada platform kolaborasi strategik yang menghubungkan penyelidikan, kepakaran dan keperluan operasi.
CRC 2026 diterajui CSAM sebagai penganjur utama, bersama KDN melalui IPSOM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan IEEE Computer Society Malaysia Chapter.
Penganjuran persidangan itu turut menekankan kepentingan penyelidikan berasaskan data dan bukti empirikal untuk diterjemahkan kepada dasar, penguatkuasaan, operasi serta penyelesaian praktikal dalam usaha memperkukuh keselamatan dan kebingkasan siber negara.
