Oleh Nur Faradilla Mohamad
MERSING, 2 Okt (Bernama) — Johor mencatat perkembangan positif dalam usaha pemuliharaan penyu apabila dianggarkan 5,000 anak penyu, khususnya spesies penyu karah dan penyu agar, berjaya menetas setiap tahun menerusi perlindungan di kawasan pendaratan dan tapak penetasan.
Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Johor Rosmawati Ghazali berkata antara lokasi utama pendaratan penyu ialah Pulau Apil, Pulau Dayang, Pulau Besar dan Pulau Tinggi.
Beliau berkata Pulau Tinggi merekodkan jumlah penetasan tertinggi berikutan kedudukannya yang terpencil dan kurang didiami, sekali gus mengurangkan gangguan manusia serta ancaman pemangsa seperti anjing dan biawak.
Bagaimanapun, katanya, telur penyu yang dibiarkan menetas secara semula jadi berdepan risiko tinggi akibat ancaman pemangsa.
“Apabila penyu buat sarang sendiri sebenarnya banyak pemangsa dan kadar kelangsungan hidupnya rendah. Oleh itu, kita pindahkan telur yang ditemukan di kawasan pendaratan ke tapak penetasan (hatchery) supaya anggota kita boleh memantau dengan lebih dekat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja melabuhkan modul restorasi karang jenis “cheese block” di perairan Pulau Tinggi di sini, baru-baru ini.
Rosmawati berkata usaha pemuliharaan yang dilaksanakan menerusi Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan penting kerana berdasarkan kajian, daripada setiap 1,000 anak penyu yang dilepaskan ke laut, hanya seekor dijangka mencapai usia matang.
Sehubungan itu, katanya, DOF terus mempergiat program pemuliharaan termasuk pendidikan dan kesedaran bersama pelajar serta masyarakat setempat, selain melabuhkan tukun tiruan bagi membantu memelihara ekosistem marin.
Beliau berkata anak penyu berdepan pelbagai ancaman pemangsa dari udara, darat dan laut sebaik menetas, selain perlu mencari kawasan makanan yang sesuai untuk membesar.
Menurutnya, suhu turut memainkan peranan penting dalam menentukan jantina anak penyu, dengan suhu lebih tinggi cenderung menghasilkan lebih banyak anak penyu betina manakala suhu lebih rendah menghasilkan lebih banyak jantan.
“Kadang-kadang kita dapat telur yang tidak tersenyawa, justeru kita kena pastikan kawasan itu suhunya sesuai untuk memastikan anak penyu menjadi jantan kerana seekor betina memerlukan empat ekor jantan untuk persenyawaan.
“Oleh itu, kita dah buat nisbah lima ekor jantan dan 10 ekor betina di sini,” katanya sambil memaklumkan pemantauan dilakukan secara berkala, termasuk merekodkan maklumat menerusi sistem pengurusan sumber perikanan MyFiRSt.
Rosmawati berkata pusat penetasan turut terdapat di Pulau Besar, namun jumlah pendaratan penyu di pulau itu agak rendah selain berdepan kekangan bekalan elektrik dan air.
Katanya, sekiranya terdapat pendaratan penyu di Pulau Besar, telur berkenaan akan dipindahkan ke pusat penetasan di Pulau Tinggi yang mempunyai kemudahan lebih lengkap bagi membolehkan pemantauan dilakukan dengan lebih rapi.
Beliau berkata kawalan terhadap aktiviti manusia di kawasan penetasan turut penting kerana kawasan berkenaan sensitif dan orang awam tidak digalakkan memasukinya.
