KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) — Seramai 118 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang pagi ini selepas daerah itu dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak lewat malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang mengisytiharkan kejadian banjir pada 10.40 malam tadi berdasarkan laporan dan maklumat daripada agensi berkaitan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan PPS Kompleks Sukan Penampang menempatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 40 orang daripada tujuh keluarga.
PPS Dewan Huguan Siou pula menempatkan 31 mangsa daripada 11 keluarga, manakala PPS Penampang Parish Hall menempatkan 29 mangsa daripada 16 keluarga dan PPS St Paul Kolopis menempatkan 18 mangsa daripada tujuh keluarga.
Menurut kenyataan itu, paras air Sungai Moyog kini berada pada tahap kritikal 9.12 meter, melepasi paras bahaya.
Banjir turut menjejaskan 15 kampung termasuk Kampung Penampang Proper, Kampung Kolopis, Kampung Sarapung, Kampung Dabak, Kampung Tanaki, Kampung Pagansakan, Kampung Nambazan, Kampung Huba dan Kampung Kibabaig.
Kawasan lain terjejas ialah Kampung Limbanak, Kampung Penampang Kondis, Kampung Sugud, Kampung Pinapah, Vista Kiranau dan Kampung Kambau.
Sebanyak 12 laluan turut dinaiki air namun masih boleh dilalui, antaranya Jalan Tanaki-Bandason, Jalan Vista Kiranau, Jalan Inobong, Jalan Kampung Putaton, Jambatan Pagansakan, Jalan Sarapung, Jalan Kolopis-Boliga dan Jalan Bantazon-Kolopis.
Turut terjejas ialah Jalan Bontozon-Kampung Sarapung, Jalan Huba-Nambazan, Jalan Panglima Banting dan Jalan Kasigui.
Pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan terus memantau kawasan terjejas dan mengemas kini perkembangan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk.
