BATU GAJAH, 22 Ogos (Bernama) — Zahirnya mungkin nampak kecil, tetapi sebuah katil hospital yang dipinjamkan Pertubuhan Jalinan Insan Prihatin (JIP) telah mengubah rutin penjagaan, mengurangkan beban dan memberi sedikit ruang bernafas untuk Muahammad Suhaimi Rafa’at sepanjang menguruskan ibunya yang uzur.

Vokalis kumpulan Sofea berusia 40 tahun itu sudah lebih tiga tahun menjaga ibunya, Nadirah Shaharuddin, 79, yang mengalami patah tulang pinggul, pendarahan dalam kepala dan demensia selepas terjatuh kira-kira dua bulan lepas.
Keadaan itu menyebabkan Suhaimi perlu menguruskan hampir keseluruhan keperluan harian ibunya termasuk memandikan, menukar lampin, memberi makan dan memastikan wanita itu sentiasa ditemani, hingga beberapa urusan kerjaya dan kehidupannya sendiri terpaksa diketepikan.
“Sebelum dapat katil ini memang susah untuk kita tukar lampin dan mandikan dia. Apa saja pergerakan dia terbatas dan dia selalu mengadu sakit sebab sebelum ini terpaksa berbaring di bawah.
“Alhamdulillah, apabila dapat katil ini saya rasa sangat lega. Dia selesa dan semua urusan menjadi lebih mudah,” katanya ketika ditemui Bernama di rumah sewa mereka di Taman Maju, di Seri Iskandar.
— LAGI
HKHM-JIP 2 BATU GAJAH
Bagi Suhaimi, yang pendapatan bergantung kepada persembahan pentas, menjaga ibunya dalam keadaan seperti itu bukan pengorbanan kecil apabila sebahagian komitmen kerjaya termasuk rakaman dan persembahan terpaksa ditangguhkan.
Namun, beliau melihat keselesaan ibunya sebagai perkara paling utama kerana kesejahteraan dirinya sendiri turut bergantung kepada keadaan ibu yang dijaganya itu.
Suhaimi dan ibunya adalah antara ratusan keluarga yang mendapat manfaat daripada usaha JIP, sebuah pertubuhan yang menyediakan pinjaman pelbagai peralatan penjagaan pesakit kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Perjalanan JIP bermula daripada pengalaman peribadi pengasasnya, Muhammad Don Abdul Rahman, 59, bersama isteri, Nora Mustafa, 55, membeli sebuah katil hospital untuk ibu mentuanya, Jeriah Pandak Wahab, 70, yang ketika itu terlantar sakit.
Muhammad Don berkata katil terpakai yang dibeli dengan harga kira-kira RM500 itu hanya sempat digunakan sehari sebelum Jeriah meninggal dunia pada September 2014, namun pengalaman itu mencetuskan kesedaran bahawa peralatan berkenaan masih boleh dimanfaatkan oleh pesakit lain.
— LAGI
HKHM-JIP 3 BATU GAJAH
Beliau kemudian cuba membantu seorang rakan yang mempunyai bapa yang terlantar sakit dan memerlukan katil hospital, sebelum menyedari rupanya ramai keluarga berdepan masalah sama.
“Daripada sebuah katil, kita beli lagi sehingga lima, kemudian 10, 15 dan akhirnya bertambah hinggalah sekarang kita mempunyai 314 katil hospital,” katanya sambil menambah usaha itu kemudiannya berkembang menjadi gerakan bantuan lebih tersusun sebelum JIP didaftarkan secara rasmi sekitar 2020.
Selain katil hospital, beliau berkata JIP turut menyediakan kerusi roda, mesin oksigen, tabung oksigen dan beberapa peralatan penjagaan lain mengikut keperluan serta stok yang tersedia dan sehingga kini kira-kira 936 penerima telah mendapat manfaat penggunaan katil, manakala ratusan lagi menggunakan peralatan lain.
Beliau berkata prinsip JIP adalah membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama, usia atau kedudukan ekonomi kerana penyakit boleh menimpa sesiapa sahaja.
Pada peringkat awal, Muhammad Don menggunakan wang sendiri untuk mendapatkan peralatan, sebelum semakin ramai individu tampil menyumbang wang dan barangan bagi membantu lebih banyak keluarga.
— LAGI
HKHM-JIP 4 (AKHIR) BATU GAJAH
Malah, beliau berkata penyumbang terdiri dari pelbagai kaum yang menghulurkan sejumlah wang untuk membeli peralatan walaupun tidak pernah saling mengenali secara peribadi dan sokongan sedemikian memperlihatkan semangat membantu tidak mengenal kaum mahupun agama
Berbeza dengan konsep bantuan yang memberikan barangan secara terus kepada penerima, JIP mengamalkan sistem pinjaman bersyarat bagi memastikan peralatan dapat digunakan lebih ramai pesakit.
“Setiap penerima perlu mengisi borang permohonan dan membuat aku janji bahawa peralatan yang dipinjam hendaklah dipulangkan selepas pesakit pulih atau tidak lagi memerlukannya. Ini penting supaya peralatan berkenaan dapat kita gunakan semula untuk membantu pesakit lain yang turut memerlukan, itulah syarat yang kita kenakan,” katanya.
Sementara itu, bagi M. Raja Kumar, 71, katil yang dipinjam daripada JIP memberikan kelegaan besar dalam menguruskan isterinya, M. Pushpa, 66, yang sudah kira-kira lima tahun terlantar dan tidak mampu bangun serta memerlukan bantuan dalam urusan harian termasuk makan, mandi serta penjagaan diri.
Lebih mencabar, Raja Kumar sendiri menjalani dialisis akibat masalah buah pinggang dan masih perlu menguruskan isterinya di rumah, dan mengetahui mengenai JIP melalui adik iparnya yang membantu mendapatkan bantuan berkenaan.
Baginya katil tersebut bukan sekadar memudahkan penjagaan, tetapi membantu memastikan isterinya berada dalam keadaan lebih selesa tanpa terlalu membebankan penjaga yang juga mempunyai keterbatasan kesihatan.
— BERNAMA
TAG: HKHM, JIP, penjagaan, pinjaman, katil hospital, pesakit, uzur
