KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau a/l Veraman hari ini tampil di Parlimen memberikan penjelasan berhubung satu hantaran media sosial yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya mengenai Overseas Citizen of India (OCI), sehingga menimbulkan persoalan terhadap kesetiaan dan patriotisme beliau sebagai rakyat Malaysia dan wakil rakyat.
Menurut kenyataan rasminya bertarikh 11 Ogos 2026, apa yang dibangkitkannya adalah terhad semata-mata kepada keperluan pembuktian keturunan atau pertalian nenek moyang dari India dalam proses permohonan OCI.
“Bagi rakyat Malaysia berketurunan India yang keluarganya telah berada di Malaysia sejak beberapa generasi, dokumen lama untuk membuktikan susur galur tersebut mungkin sukar diperoleh. Justeru, apa yang saya mohon hanyalah supaya keperluan pembuktian tersebut dipermudah bagi mereka yang sememangnya layak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkara itu sama sekali tidak berkaitan dengan kewarganegaraan India, kewarganegaraan berganda atau soal kesetiaan kepada Malaysia.
“Perkara yang jelas ini tidak seharusnya diputarbelitkan atau diberikan gambaran sebaliknya sebagaimana yang telah dilakukan oleh Saudara Firdaus Wong,” tegas YB Ganabatirau.
Beliau menyatakan amat kecewa kerana perkara yang pada asalnya berkaitan dengan kemudahan proses dan kepentingan keluarga telah dikaitkan dengan kesetiaan beliau kepada negara. Perkara ini bukan sahaja menjejaskan nama baiknya, malah memberi kesan secara peribadi dan mental.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen dan wakil rakyat, persoalan terhadap kesetiaan saya kepada tanah air sendiri merupakan perkara yang amat serius,” katanya.
Ganabatirau sekali lagi menegaskan: “Saya setia kepada Malaysia. Malaysia adalah tanah air saya. Amanah dan perjuangan saya adalah untuk Malaysia dan seluruh rakyatnya.”
Sehubungan itu, beliau mengharapkan penarikan balik kenyataan tersebut, pemadaman hantaran, permohonan maaf secara terbuka serta komitmen agar perkara dan insinuasi yang sama tidak diulangi.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada SN Nair & Partners atas profesionalisme, ketegasan dan komitmen mereka dalam mempertahankan nama baik serta hak beliau melalui saluran undang-undang.
“Kebenaran perlu ditegakkan. Maruah tidak boleh diputarbelitkan,” ujarnya.
