KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kerajaan Negeri Sembilan perlu terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas susulan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata perkara berkenaan menjadi fokus utama mesyuarat khas yang dipengerusikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan di Menara Dato’ Onn, malam ini.
“Inti pati perbincangan ialah kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat.
“Hal itu yang mesti diberi tumpuan dan insya-Allah daripada perbincangan yang panjang lebar, akan ada satu pendekatan supaya pihak kerajaan berjalan seperti biasa untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Mengulas pentadbiran negeri tanpa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Jalaluddin berkata terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi memastikan urusan kerajaan terus berjalan.
“… tentunya Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya agenda berkaitan dengan kepentingan rakyat dapat diteruskan,” katanya.
Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata mesyuarat lebih dua jam itu turut dihadiri wakil penyokong kerajaan daripada BN dan Perikatan Nasional (PN).
Antara yang hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim yang juga ADUN Juasseh, ADUN Chembong Datuk Zaifulbahri Idris, ADUN Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli dan ADUN Sikamat Datuk Razali Abu Samah.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan bertujuan menyelaras usaha serta mengenal pasti penyelesaian terhadap kemelut negeri itu dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Peraturan-Peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan adat Negeri Sembilan.
Beliau menegaskan usaha berkenaan bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran negeri, sebaliknya mencari penyelesaian yang mengutamakan kepentingan rakyat.
Ahmad Zahid turut memberikan mandat kepada Ismail untuk mencari penyelesaian terbaik, termasuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta pimpinan dalam hierarki adat Negeri Sembilan.
Beliau sebelum ini turut berpandangan pengisytiharan darurat politik tidak diperlukan kerana keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu masih terkawal.
