PHNOM PENH, 13 Ogos (Bernama) — Pihak berkuasa menahan empat individu yang disyaki menjalankan rangkaian pemerdagangan manusia dengan merekrut wanita Laos untuk perkahwinan luar aturan dengan lelaki warga asing.
Polis mengesan broker yang disyaki itu di daerah Kham di wilayah Xieng Khouang dan kampung Nongkeng di daerah Xaythany, di Vientiane, pada akhir Julai, lapor The Laotian Times hari ini.
Menurut pihak berkuasa sindiket itu mengenakan bayaran antara US$7,533 dan US$9,308 (RM30,810 dan RM38,000) untuk perkahwinan tersebut.
“Kumpulan itu didakwa sering mengatur pertemuan antara wanita Laos dengan lelaki warga asing.
“Pegawai menyerbu premis berkenaan dan menahan empat suspek, termasuk seorang warga asing yang kewarganegaraannya masih tidak didedahkan,” lapor The Laotian Times.
Penangkapan itu dibuat ketika usaha sedang dipergiat oleh pasukan keselamatan Laos untuk membanteras rangkaian jenayah yang semakin meningkat, termasuk perjudian dalam talian, jenayah siber, penyeludupan dadah dan manusia serta penyeludupan hidupan liar.
“Kerajaan sedang memperkukuh usaha yang diselaraskan untuk mencegah dan menyekat pemerdagangan manusia sebagai tindak balas kepada cabaran yang semakin berkembang,” kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman Laos Khamphan Phommathat pada Hari Menentang Pemerdagangan Manusia Sedunia pada 30 Julai.
Jawatankuasa Kebangsaan Antipemerdagangan Manusia Laos telah mengambil beberapa siri langkah untuk melindungi wanita yang tidak bersalah, kebanyakannya dari kawasan terpencil di negara ini, termasuk kempen kesedaran awam, latihan dan seminar.
Polis merekodkan 46 kes pemerdagangan manusia baharu pada 2024 iaitu 95 suspek telah ditangkap dan 85 orang menjadi mangsa, menurut jawatankuasa itu.
Jabatan Negara Amerika Syarikat, dalam “Laporan Pemerdagangan Manusia 2025: Laos”, mendedahkan bahawa penyeludup dalam komuniti luar bandar menculik atau merekrut wanita dan gadis Laos dengan janji palsu tentang peluang kerja yang sah atau perkahwinan.
Kebanyakan mereka menyamar sebagai “broker perkahwinan”.
“Kesukaran ekonomi dan peluang pekerjaan yang berkurangan telah meningkatkan trend tersebut dengan ketara pada 2024 dan 2025,” menurut laporan itu.
Bersempadan dengan lima negara iaitu China, Kemboja, Myanmar, Thailand dan Vietnam, pasukan keselamatan Laos menghadapi cabaran besar dalam mengekang jenayah rentas sempadan
— BERNAMA
TAG: Laos, pemerdagangan manusia, perkahwinan, wanita, broker
