Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA. Photographed By: NUR SYAHEDA IMRAN
PUTRAJAYA, 11 Oktober 2026 – Kementerian Komunikasi akan memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, penyampaian maklumat kerajaan dan industri kreatif negara menerusi Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim pada 9 Oktober lalu.
Bagi tahun 2027, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi memperuntukkan RM142 juta untuk memperhebat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta lebih RM130 juta bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.
Peruntukan industri kreatif merangkumi insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia, termasuk insentif tambahan bagi karya yang menampilkan budaya Malaysia dan kenegaraan. Selain itu, kerajaan mengecualikan sepenuhnya duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai tahun 2027, di samping melahirkan 20 harta intelek baharu serta mengkomersialkan watak Malaysia di pentas dunia.
Sementara itu, menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kerajaan meneruskan usaha memperluas jaringan infrastruktur telekomunikasi dan keselamatan ruang siber melalui beberapa inisiatif strategik.
Antaranya pelaburan RM5 bilion bagi memperkukuh ketersambungan Internet negara melalui Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA), merangkumi liputan 4G di semua kampung Orang Asli, ketercapaian Internet di 7,000 km jalan raya dan 1,700 km rel kereta api, serta pelaksanaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
MCMC juga diperuntukkan RM1 bilion untuk pelaksanaan Projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara, serta menjalankan Kempen Internet Selamat di semua sekolah dengan tumpuan menangani buli siber dan eksploitasi kanak-kanak.
Kementerian Komunikasi yakin Belanjawan 2027 dapat meningkatkan lagi keterhubungan komunikasi, literasi digital serta mencambah hasil industri kreatif yang berkualiti.
