Pengkalan Hulu, 12 April 2026 — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini meneruskan tinjauan operasi kawalan sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak, salah satu pintu keluar masuk penting antara Malaysia dan Thailand.
Beliau menekankan bahawa laluan ini memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan negara. ICQS Bukit Berapit merupakan sebahagian daripada 122 pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand yang kini masih di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Insya-Allah, pengoperasiannya akan diambil alih secara berperingkat oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi memperkukuh lagi kecekapan dan keberkesanan kawalan di sempadan negara,” kata Saifuddin Nasution.
Dalam tinjauan tersebut, beliau juga sempat berinteraksi dengan beberapa pengguna yang keluar masuk melalui pintu sempadan ini sambil mendengar langsung pandangan dan pengalaman mereka.
Tinjauan ini mencerminkan komitmen jelas Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa, memperkukuh dan mempertingkatkan kawalan sempadan negara. Usaha berterusan ini bertujuan membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya melibatkan barangan kawalan, dan menjadi antara keutamaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani cabaran Krisis Tenaga Global.
Selain itu, Saifuddin Nasution turut mengumumkan bahawa pembinaan ICQS baharu Bukit Berapit kini berada di peringkat kajian kebolehlaksanaan dengan peruntukan RM2 juta. Kajian tersebut merangkumi aspek lokasi, reka bentuk dan aliran pergerakan pengembara bagi memastikan sistem kawalan sempadan lebih efisien dan selamat.
Buat masa ini, AKPS telah mengambil alih kawalan di 22 daripada 122 pintu masuk sempadan negara, dan perancangan pengambilalihan secara berperingkat termasuk di Bukit Berapit sedang dilaksanakan.
Tinjauan ini selaras dengan usaha kerajaan memperkukuhkan keselamatan sempadan darat, terutamanya dalam menangani isu penyeludupan bahan api dan barangan kawalan lain di kawasan sempadan.
