Kota Kinabalu 24 Mac 2026 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan perkara itu selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, Armizan memberikan taklimat mengenai keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang telah diaktifkan bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan.
“JTPAP diaktifkan sebagai langkah proaktif untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api, terutamanya di kawasan sempadan termasuk di negeri Sabah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa risiko ketirisan semakin meningkat disebabkan konflik di Asia Barat serta jurang harga yang tinggi antara bahan api bersubsidi di dalam negara dengan harga pasaran dan harga runcit di negara jiran.
Armizan turut menangkis khabar angin mengenai dakwaan kekurangan bekalan bahan api di beberapa stesen minyak di Sabah yang dikaitkan dengan masalah gangguan bekalan di negara serantau.
“Sehingga kini, tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel dan LPG dalam negara. Bekalan semasa adalah mencukupi malah situasi di Malaysia lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk negara serantau,” tegasnya.
Menurutnya, isu yang timbul dan tersebar luas hanyalah kes terpencil berkaitan logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran selama beberapa jam di beberapa lokasi, terutama semasa musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.
“Perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan bahan api semasa adalah terjamin.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang penjualan atau pengisian bahan api selain daripada tangki kenderaan tanpa permit khas adalah kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, khususnya Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
“KPDN tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” tegasnya.
Orang ramai digalakkan menyalurkan sebarang aduan berkaitan aktiviti mencurigakan melalui platform aduan rasmi KPDN, manakala pengusaha stesen minyak diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa.
