KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 – Kerajaan mensasarkan pendaftaran kira-kira 6,000 pelarian melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) pada tahun ini, dengan unjuran meningkat kepada 20,000 orang pada tahun hadapan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tebrau, Tuan Jimmy Puah Wee Tse, semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin menegaskan bahawa isu pelarian merupakan masalah legasi yang berlarutan berdekad lamanya dan perlu diselesaikan secara tuntas serta berterusan bagi mengelakkan beban kewangan, sosial, ekonomi, politik dan keselamatan kepada negara.
Menurut beliau, UNHCR menyatakan terdapat 225,000 pelarian di Malaysia, namun data itu bersifat mentah kerana kerajaan tidak mempunyai maklumat terperinci seperti nama, lokasi, umur, jantina serta status tapisan keselamatan mereka.
“Maka Kerajaan buat keputusan, kita kena buat pendataan kita sendiri. Jadi, DPP adalah satu proses pendataan. Kumpul data. Namanya, umurnya, kemudian lokasi keberadaannya. Ada tapisan polis ke atas mereka ini, ada tapisan imigresen. Kita buat sistem biometrik supaya kita ada satu data yang credible,” katanya.
Sasaran Fasa Pertama
Bagi DPP fasa pertama yang bermula Januari tahun ini, kerajaan mensasarkan kira-kira 4,000 hingga 4,010 orang yang berada dalam depot tahanan imigresen, manakala 2,000 lagi di luar depot, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 6,000 orang tahun ini. Tahun depan, unjuran akan ditingkatkan kepada 20,000 orang setelah proses menjadi lebih mahir.
Saifuddin menjelaskan bahawa keutamaan diberikan kepada “low-hanging fruit”, iaitu mereka yang sudah berada dalam depot, sebelum diperluaskan kepada yang di luar. Data yang dikumpul akan dijadikan instrumen keselamatan untuk merangka dasar awam dan mekanisme penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan.
Beliau turut menggariskan tiga hala tuju bagi pelarian: penempatan di negara ketiga seperti Australia, New Zealand dan Kanada; pemulangan secara sukarela (baru-baru ini kira-kira 1,400 orang dihantar pulang); serta tindakan pengusiran jika melanggar undang-undang.
Kemungkinan Bekerja di Sektor Tertentu
Menjawab soalan tambahan mengenai kemungkinan pelarian berdaftar di bawah DPP dibenarkan bekerja, Saifuddin berkata idea besar itu belum dilaksanakan. Beliau merujuk kepada keperluan tenaga kerja dalam lima sektor di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) – pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan – dengan siling pekerja asing tidak melebihi 10 peratus daripada 17 juta guna tenaga, iaitu 1.7 juta orang.
“Hasrat kita adalah keperluan tenaga kerja tak semestinya kita ambil daripada luar. Saya bagi contoh, katalah Pasir Gudang ada ladang sawit, perlukan 100 pekerja. Ada dua pilihan. Nak ambil daripada Bangladesh dan bayar segala kos, ataupun semak dengan data pendaftaran pelarian kami yang memang dah ada,” katanya, sambil tidak menolak kemungkinan laluannya ke arah itu bagi memenuhi keperluan sebenar.
Rundingan dengan Myanmar dan Amaran Tindakan Bersendirian
Mengenai perbincangan dua hala dengan pemimpin Myanmar, Saifuddin memberitahu bahawa isu etnik Rohingya dan warga Myanmar telah dibincangkan dalam dua pertemuan – pertemuan empat mata Perdana Menteri dengan Presiden Myanmar serta perbincangan dengan jemaah menteri. Kerajaan Myanmar bersetuju menerima pemulangan warganya daripada semua etnik dengan biaya mereka sendiri, serta bekerjasama dalam proses tapisan untuk mengenal pasti warganya di Malaysia melalui mekanisme ASEAN.
Beliau juga menasihati rakyat supaya tidak mengambil tindakan bersendirian terhadap pelarian yang menimbulkan ketidakselesaan, sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis. Usaha aktivis dihargai sebagai cerminan keresahan masyarakat, namun segala tindakan mesti mengikut lunas undang-undang.
Bagi mengelakkan DPP menjadi pull factor, kerajaan menetapkan tarikh potong (cut-off date) pada Januari 2023. Pelarian yang masuk selepas tarikh itu tidak akan dipertimbangkan di bawah program ini. Saifuddin menambah bahawa proses pendataan bukan perkara baharu; kerajaan mewarisi data kira-kira 30,000 orang daripada fasa terdahulu yang kini sedang diperluaskan untuk memastikan data lebih kredibel dan boleh diukur bagi merangka dasar awam.
