MELAKA, 3 Okt (Bernama) — Perlindungan fizikal dan mental warga emas bakal menjadi antara fokus utama Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa terdekat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata RUU berkenaan dirangka bagi memastikan golongan warga emas mendapat perlindungan sewajarnya dalam pelbagai aspek kehidupan, sekali gus menikmati kehidupan lebih sejahtera.
“Kerajaan sebelum ini telah mempunyai dasar serta kerangka berkaitan warga emas, manakala RUU itu akan menjadi langkah susulan dalam memperkukuh perlindungan terhadap golongan berkenaan.
“RUU ini khusus untuk memberi tumpuan kepada perlindungan warga emas, supaya mereka sentiasa dilindungi dari segi apa juga aspek,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Nancy berkata penggubalan RUU itu merupakan antara komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem sokongan, perlindungan dan penjagaan warga emas agar kekal relevan dengan keperluan semasa serta perubahan demografi negara.
Beliau berkata warga emas tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya perlu dihargai dan dijadikan contoh kepada generasi muda selaras dengan usaha memperkukuh institusi kekeluargaan.
“Apabila kita melihat warga emas ini, merekalah yang sebenarnya telah memberi panduan, memberi contoh kepada kita. Tetapi kalau contoh itu ada, harus menjadi contoh yang baik yang akan diikuti oleh orang muda,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata kementeriannya bersedia bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi melaksanakan saringan terhadap individu yang dilantik sebagai penceramah bebas bagi memastikan mereka mempunyai kelayakan dan kredibiliti bersesuaian.
Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana penceramah bebas berada di bawah agensi atau kementerian lain dan kementeriannya tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai golongan berkenaan.
“Kalau kami nak mengambil alih tanggungjawab (membuat saringan) itu agak tidak sesuai. Namun kita boleh bekerjasama dengan memberi peringatan kepada siapa-siapa yang nak mengadakan program ceramah ini, pastikan penceramah itu memang orang yang ada kaliber,” katanya.
