GEORGE TOWN, 2 Okt (Bernama) — Malaysia masih jauh untuk mencapai sasaran mentransformasikan 3,000 pengilang kepada kilang pintar menjelang 2030 apabila hanya 93 syarikat setakat ini berjaya melengkapkan transformasi berkenaan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata 161 syarikat lagi kini dalam proses transformasi dan dijangka melengkapkannya menjelang Disember 2026.
Beliau berkata kadar penerimaan teknologi pembuatan pintar dalam kalangan pengilang masih rendah, sekali gus memerlukan usaha lebih agresif bagi mencapai sasaran ditetapkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Di bawah NIMP 2030, kami menyasarkan untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar, namun malangnya kadar penerimaan masih sangat rendah.
“Hanya 93 yang telah berjaya berubah, manakala 161 lagi sedang dalam proses untuk mencapainya menjelang 2026.
“Jadi, kita masih jauh daripada sasaran 3,000 tersebut,” katanya kepada media selepas melancarkan Anugerah Pembuatan Pintar Malaysia (MSMA) 2027 di sini hari ini.
Sim berkata kerajaan memberi tumpuan membantu pengilang yang berdepan kekangan kewangan dan keupayaan untuk mengguna pakai teknologi pembuatan pintar.
Menurutnya, terdapat syarikat yang berupaya melaksanakan transformasi secara sendiri, namun kerajaan mahu memastikan pengilang yang berdepan kekangan turut mendapat sokongan diperlukan.
Beliau berkata MSMA 2027 berperanan memberi inspirasi kepada lebih banyak pengilang untuk mengguna pakai automasi dan teknologi pembuatan pintar, merangkumi sektor seperti semikonduktor, pemesinan, perabot dan automotif.
“Kami berharap menerusi MSMA, kami dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada lebih banyak kilang untuk mencapai matlamat itu, agar kita boleh mencapai sasaran 3,000 itu.
“Kami turut menggesa semua pengilang daripada semikonduktor termaju hingga pemesinan, selain perabot atau industri automotif, serta semua industri yang terlibat dalam pembuatan untuk mengambil langkah berani melaksanakan automasi,” katanya.
NIMP 2030 menetapkan transformasi 3,000 kilang pintar sebagai Projek Berasaskan Misi 2.1 di bawah Misi 2 yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam sektor pembuatan.
Sementara itu, Sim berkata MSMA 2027 bertujuan mengiktiraf pengilang yang mengambil langkah melaksanakan pembuatan pintar, termasuk dari aspek proses dan automasi.
“Ini merupakan hala tuju negara untuk melangkah maju. Kita memerlukan lebih banyak kilang melaksanakan pembuatan pintar dan automasi serta mengautomasikan proses mereka, malah rekod audit dan pelbagai proses lain juga perlu diautomasi,” katanya.
