TEMERLOH, 21 Sept – Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik syarikat utiliti dan telekomunikasi menerusi beberapa serbuan di daerah ini antara 15 hingga 19 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nasyim Bahron berkata kesemua suspek berusia antara 16 dan 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) sejak Jun lepas.
Katanya, siasatan awal mendapati dua suspek dipercayai anggota ‘Geng Mat Letrik’, seorang anggota ‘Geng Mista’ manakala empat lagi dipercayai anggota ‘Geng Sasi’.
“Empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala saringan awal air kencing mendapati empat daripada mereka positif methamphetamine.
“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk kabel, kenderaan dan peralatan memotong kabel dengan nilai keseluruhan kira-kira RM50,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini hari ini.
Mohd Nasyim berkata polis kini giat mengesan enam lagi lelaki daripada ‘Geng Mista’ dan ‘Geng Sasi’ yang masih bebas serta dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kecurian berkenaan.
Menurutnya, siasatan mendapati kabel yang dicuri dipercayai dijual kepada peniaga barangan lusuh pada harga kira-kira RM30 sekilogram, termasuk kepada pembeli di dalam dan luar Temerloh.
Beliau berkata kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
