KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Ilmuwan Islam perlu memahami perkembangan teknologi dan perubahan semasa bagi membimbing umat menghadapi cabaran kecerdasan buatan (AI), algoritma dan media sosial, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perkembangan teknologi telah mengubah landskap penyampaian ilmu apabila persoalan agama kini tidak lagi hanya dibincangkan di mimbar atau majlis ilmu, sebaliknya turut dipengaruhi media sosial dan aplikasi AI.
“Medannya sudah berubah. Dahulu orang cari guru. Hari ini, algoritma mencari mereka terlebih dahulu. Ia turut dibentuk oleh ChatGPT, TikTok serta banyak lagi ruang media sosial dan aplikasi AI,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata perkembangan teknologi membuka akses lebih luas kepada ilmu dan pendidikan, selain menyediakan ruang dakwah yang lebih terbuka apabila ilmu boleh disampaikan kepada masyarakat dengan pantas.
Namun, beliau berkata perkembangan itu turut membawa cabaran apabila masyarakat berdepan kekeliruan pegangan, keretakan institusi keluarga serta generasi muda yang mendapatkan jawapan daripada sumber yang tidak semestinya tepat.
Sehubungan itu, beliau berkata ilmuwan Islam perlu menguasai bukan sahaja ilmu dan kitab, tetapi turut mampu “membaca zaman” dengan memahami teknologi serta realiti kehidupan semasa tanpa mengabaikan asas ilmu agama.
“Kukuh pada turath tetapi memahami teknologi. Teguh pada nas, tetapi mengerti realiti. Jelas pada hukum tetapi tidak kehilangan hikmah dalam membimbing masyarakat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata peranan ilmuwan Islam hari ini tidak seharusnya terhad kepada menjawab persoalan yang timbul, sebaliknya turut membantu masyarakat memahami perubahan, menyusun keutamaan secara bijaksana serta membezakan maklumat yang benar daripada maklumat yang mengelirukan.
Beliau berkata ilmuwan turut mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan arah kebenaran dan menyatukan kekuatan umat dalam perkara yang membawa maslahat kepada masyarakat.
