IPOH, 8 Sept (Bernama) — Enam pendaki yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan, selamat dibawa keluar dari Pos Kemar, Gerik pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata kesemua mereka bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiba di Jeti Trojan, Tasik Banding pada 10.20 pagi.
Beliau berkata enam pendaki itu terdiri daripada Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya Siti Zulaiha Norizan, 39, anak mereka Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43.
“Kesemua mangsa dan pasukan SAR tiba di Pos Kemar pada 9.15 malam tadi. Mereka menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Pos Kemar sebelum berehat di fasiliti berkenaan.
“Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk urusan dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, enam pendaki berkenaan dilaporkan hilang selepas memasuki kawasan Gunung Gerah pada 29 Ogos.
Mereka dijadualkan keluar dari hutan pada 3 Sept, namun gagal berbuat demikian sehingga keluarga membuat laporan polis pada Ahad.
Kesemua mereka ditemukan selamat oleh pasukan SAR semalam sebelum dibawa keluar dari Kem Kulim ke Kampung Lelar kira-kira 8.45 malam.
Mereka dilaporkan dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
