KULAI, 5 Sept – Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching menggesa Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) mengambil tindakan segera membaiki gelanggang futsal Taman Desa Kulai yang mula mengalami kerosakan kurang dua tahun selepas siap dibina pada Disember 2024.
Beliau berkata keadaan permukaan gelanggang yang retak dan berlubang bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai kualiti pembinaan, malah berisiko menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak dan golongan belia yang menggunakan kemudahan itu.
“Saya memang hairan kerana dalam tempoh tidak sampai 18 bulan, kita sudah nampak kualitinya begini. Adakah kualiti ini boleh diterima?
“Saya berharap MPKu mengambil tindakan secepat mungkin supaya tiada pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan belia, yang tercedera,” katanya selepas meninjau keadaan gelanggang itu hari ini.
Teo berkata gelanggang futsal berkenaan merupakan projek di bawah MPKu yang dilaksanakan bersama projek kawasan parkir di Taman Desa Kulai, dengan kos keseluruhan RM696,702.
Menurutnya, kos pembinaan gelanggang futsal itu sendiri dianggarkan RM400,000.
Beliau turut meminta MPKu menjelaskan sama ada tempoh tanggungan kecacatan atau Defect Liability Period (DLP) bagi projek berkenaan masih berkuat kuasa.
“Kalau DLP sudah tamat, mungkin kita tidak boleh minta kontraktor membuat pembaikan. Tetapi persoalannya, adakah munasabah projek kira-kira RM400,000 yang belum sampai dua tahun sudah berada dalam keadaan seperti sekarang?” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Desa Kulai Chan You You berkata kerosakan permukaan gelanggang mula kelihatan kira-kira enam bulan selepas ia siap dan semakin teruk sejak itu.
Katanya, permukaan gelanggang kini berlubang dan retak, selain dipenuhi pasir yang menyebabkan lantai menjadi licin.
“Aduan mengenai keadaan gelanggang ini telah dikemukakan kepada pihak berkaitan sejak Februari lepas, namun sehingga kini belum ada maklum balas mengenai tindakan pembaikan menyeluruh,” katanya.
Chan turut berharap kerja pembaikan dilakukan segera, selain penambahbaikan sistem pencahayaan di kawasan berkenaan bagi meningkatkan keselamatan pengguna.
