KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) — Pengisian seni dan budaya secara konsisten di ruang awam serta lokasi ikonik ibu negara perlu diperluas bagi memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai sebuah kota budaya, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia Dr Shamsudin Othman.
Beliau berkata acara sastera dan kebudayaan tidak seharusnya berlangsung secara bermusim, sebaliknya perlu dijadikan sebahagian daripada tarikan tetap di lokasi yang sering dikunjungi masyarakat serta pelancong.
Berdasarkan pengalamannya mengunjungi beberapa kota seni termasuk London dan Paris, Shamsudin berkata persembahan teater, muzik dan seni jalanan dianjurkan secara berterusan sehingga menjadi sebahagian daripada kehidupan serta identiti bandar raya berkenaan.
“Setiap lokasi ikonik di Kuala Lumpur sepatutnya menyediakan ruang atau sudut seni dan budaya serta mempunyai pengarah atau unit kebudayaan yang bertanggungjawab merancang acara sastera dan kebudayaan untuk masyarakat serta pelancong.
“Jika konsep Kuala Lumpur sebagai kota seni dapat dihidupkan, saya percaya ibu negara kita boleh berada sebaris dengan bandar raya hebat di dunia,” katanya kepada Bernama selepas program Suara Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Kebangsaan di Perpustakaan Kuala Lumpur malam tadi.
— LAGI
SENI-KL 2 KUALA LUMPUR

Shamsudin berkata kesenian juga perlu diberikan kedudukan sewajarnya dalam pembangunan negara kerana menjadi keperluan jiwa, wadah kreativiti serta medium yang mampu mendekatkan penghayatan kemerdekaan kepada masyarakat.
“Kalau kita cuba memindahkan konsep kemerdekaan itu dalam bentuk perjuangan seni, saya rasa ia lebih dekat dengan masyarakat dan itulah fungsi sastera kerana puisi, termasuk syair, gurindam dan seloka, bukan sesuatu yang remeh, sebaliknya penting dalam konteks kemerdekaan serta pembangunan negara,” katanya.
Menerusi puisi karyanya bertajuk “Segugus Bintang di Langit Ingatan” yang dideklamasikan pada program itu, beliau mengumpamakan setiap rakyat sebagai bintang yang mempunyai tanggungjawab untuk terus bersinar dengan mempertahankan kemerdekaan negara.
“Kesedaran untuk mengekalkan kemerdekaan bukan terletak pada orang lain, tetapi pada diri kita sendiri kerana jika kita cuai, kita akan menjadi bintang yang gugur dan akhirnya hilang,” katanya.
Sementara itu, pengarah bersama program berkenaan, Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata Suara Kuala Lumpur yang dianjurkan sejak lebih sedekad lepas merupakan antara usaha membantu menjadikan ibu negara sebagai hab seni dan budaya untuk dinikmati masyarakat tempatan serta pelancong.
— LAGI
SENI-KL 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
“Kita berharap Kuala Lumpur tidak menjadi kota kebendaan atau material semata-mata kerana kita mahu menyuntik elemen budaya melalui Suara Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata program itu pada awalnya dianjurkan setiap bulan sebelum dilaksanakan kira-kira empat kali setahun bergantung pada sokongan penajaan, dengan pihaknya kini mengusahakan kerjasama sektor swasta bagi membolehkan penganjurannya dipertingkatkan.
Syed Mohd Zakir berkata pengisiannya merangkumi puisi, tarian, muzik tradisional dan kontemporari, selain menjadi platform yang meraikan kepelbagaian budaya serta mencungkil bakat generasi baharu.
Pendeklamasi muda Tai Weuy Liang berkata program berkenaan menghimpunkan bakat daripada pelbagai kaum dan bidang, daripada tarian dan muzik hingga bacaan puisi, sekali gus memberi peluang kepada mereka berinteraksi serta mempersembahkan bakat dan makna di sebalik karya.
Program anjuran Perpustakaan Kuala Lumpur dan Nusa Centre dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu menampilkan 10 penyair serta lima persembahan seni sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
— BERNAMA
TAG: seni, budaya, Suara Kuala Lumpur, kota, santai, Shamsudin Othman
