SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) — Kontinjen Negeri Sembilan menyasarkan 25 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri Datuk Mustapha Nagoor berkata sebanyak 554 atlet akan mengambil bahagian dalam 35 jenis sukan.
Beliau berkata antara sukan yang disasarkan menyumbang pingat emas ialah akuatik, polo, berbasikal, catur, e-sukan, gimnastik, golf, karate, menembak, olahraga, ragbi, sepak takraw, taekwondo, tinju dan wushu.
“Sasaran kali ini lebih tinggi berbanding edisi SUKMA Sarawak dua tahun lepas, iaitu 19 pingat emas. Semua persatuan sukan dan jurulatih membuat persiapan lebih rapi, sepatutnya peluang memperoleh pingat juga mesti lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mustapha berkata kerajaan negeri turut menyediakan insentif kepada atlet yang berjaya memenangi pingat, namun jumlahnya akan diputuskan selepas temasya berakhir berdasarkan pencapaian keseluruhan.
Pada SUKMA Sarawak 2024, Negeri Sembilan mengumpul 56 pingat keseluruhan, iaitu 19 emas, 13 perak dan 24 gangsa.
Beliau berkata kontinjen Negeri Sembilan tidak mengambil bahagian dalam sukan judo dan memanah pada edisi kali ini kerana tiada atlet yang berkelayakan.
— BERNAMA
TAG: SUKMA Selangor, sasaran, 25 pingat emas, Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor
SBMK NBS HER
