KUALA LUMPUR 22 Ogos 2026 – Pekarangan Kompleks Sogo yang lazimnya meriah dengan persembahan pemuzik jalanan bertukar suasana pada malam Sabtu apabila alunan lagu-lagu patriotik bergema bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Menerusi Program Pentarama Merdeka@HoHo anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN), orang ramai bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang malah turut menyanyikan lagu patriotik bersama-sama bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
Program yang memasuki tahun ketiga itu terus menjadi platform penting dalam memupuk semangat patriotisme serta meningkatkan penghayatan rakyat terhadap sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Pengarah Penerangan, Erwin Khairul Ahmad berkata walaupun program kali ini diadakan dalam skala lebih sederhana, suasana tetap meriah dengan penglibatan orang ramai yang turut mengibarkan Jalur Gemilang.
“Malam ini, setakat ni, di Sogo sambutan sangat meriah walaupun kita tak menjadualkan ataupun tak mempromosikan program ini, tetapi apabila kita datang, kita buat satu kejutan dengan lagu-lagu, lagu-lagu ‘Aku Berjanji’ nyanyian Faizal Tahir, yang mana itu adalah lagu tema pada tahun ini, dan kita nampak mula ramai crowd yang datang berhampiran dengan kita,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas program di Kompleks Sogo, Erwin berkata sambutan itu membuktikan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap negara. Namun perasaan berkenaan perlu diterjemahkan melalui tindakan dan penyertaan dalam program berunsur patriotik.
Beliau menasihati rakyat Malaysia yang masih belum mengibarkan Jalur Gemilang supaya berbuat demikian memandangkan sambutan Bulan Kebangsaan kini semakin menghampiri kemuncaknya.
Program Pentarama Merdeka@HoHo seterusnya akan diadakan pada 12 September di beberapa lokasi ikonik termasuk Dataran Merdeka dan Plaza Sungei Wang.
Program itu melibatkan tiga hentian utama iaitu Kompleks Sogo, KLCC dan Pavilion bagi mempromosikan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang menerusi inisiatif ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’.
Erwin turut mengajak orang ramai memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya serta sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Dataran Merdeka.
