Ditulis oleh : Rozak Hadi & Nur Wafa
PASIR GUDANG: Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Kota Masai mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Karnival Mahabbah Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang 2026 yang berlangsung pada 12 Ogos semalam di Sekolah Kebangsaan Kangkar Tebrau.
Lebih manis lagi, kejayaan itu hadir selepas kontinjen PPKI menguasai tiga acara inti dengan meraih tiga gelaran johan dan satu naib johan.
Dalam pertandingan itu, PPKI SMK Kota Masai muncul Johan dalam Pertandingan Nasyid, Pertandingan Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Azan. Selain itu, kontingen sekolah terpaksa akur apabila meraih Naib Johan dalam Pertandingan Tulisan Khat yang gelaran juaranya diraih oleh kontingen daripada PPKI SMK Pasir Gudang 2.
Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan keupayaan dan bakat murid pendidikan khas dalam menguasai bidang kerohanian, kesenian Islam serta penghayatan agama.
Khushaini Razali, Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kota Masai berkata kejayaan ini adalah hasil kerja keras, komitmen dan semangat luar biasa murid bersama guru pembimbing, jurulatih serta keseluruhan warga sekolah yang memainkan peranan cukup besar dalam kemenjadian murid.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak dan warga sekolah yang tidak putus memberikan sokongan, dorongan, semangat dan doa kepada murid serta guru PPKI”.
Tambahnya lagi, kejayaan itu diharapkan menjadi pencetus semangat kepada semua murid PPKI untuk terus berusaha mengembangkan potensi diri, selain mengharumkan nama dalam pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi.
“Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan, tetapi bukti bahawa murid pendidikan khas juga mampu mencipta kecemerlangan apabila diberikan ruang, peluang dan sokongan yang sewajarnya.” Katanya.
Karnival Mahabbah Pendidikan Khas merupakan wadah penting dalam merealisasikan aspirasi pendidikan yang inklusif dan saksama dengan menyediakan peluang kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) untuk mengembangkan potensi, meningkatkan kecemerlangan dalam bidang kurikulum, serta memperkukuh sahsiah dan penghayatan kerohanian melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan di samping memberi ruang kepada mereka menyerlahkan bakat, keyakinan diri dan kebolehan setanding dengan murid lain di peringkat yang lebih tinggi.
