KUALA LUMPUR — Bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Tourism Malaysia meraikan ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa melalui sambutan khas sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Sambutan ini diadakan di tiga lapangan terbang antarabangsa utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (Terminal 1) pada 30 Mei 2026, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1) pada 31 Mei 2026 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 1 Jun 2026.
Majlis sambutan di KLIA Terminal 1 telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBrs. Encik Wizani Rosmin, memangku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Tourism Malaysia, serta YBhg. Datin. Christina Toh, Presiden Persatuan Hotel Malaysia, bersama barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia, serta wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil syarikat penerbangan, penggiat industri pelancongan tempatan dan rakan strategik.


Program sambutan ini mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi masyarakat Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada kepelbagaian budaya Malaysia yang menjadi tarikan utama pelancongan negara, seiring dengan VM2026. Para pelawat yang tiba di balai ketibaan disambut mesra dengan cenderamata istimewa serta disajikan juadah tradisional kegemaran ramai iaitu dodol sebagai simbol hospitaliti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya. Program ini direalisasikan melalui kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dengan MOTAC dan agensi di bawahnya, bersama MAHB, dalam usaha memperkukuh pengalaman ketibaan pelawat ke Malaysia.
Pada masa yang sama, sambutan Hari Kaamatan diadakan di Sabah pada 30 Mei 2026, diikuti sambutan Hari Gawai di Sarawak pada 2 Jun 2026. Sempena sambutan tersebut, satu program Mega Familiarisation (Mega Fam) akan dilaksanakan melibatkan seramai 15 orang wakil media dan pempengaruh dari Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Selatan seperti Filipina, Vietnam, China, Korea Selatan dan India. Program yang bakal berlangsung di kedua-dua negeri tersebut selama 8 hari, iaitu dari 29 Mei sehingga 5 Jun 2026, akan mengetengahkan keunikan budaya dan warisan perayaan tersebut. Tambahan pula, inisiatif ini juga dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi yang kaya dengan budaya dan menawarkan pengalaman pelancongan yang menarik untuk semua pelawat.
Sehingga Mac 2026, Malaysia merekodkan 10.6 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat sebanyak 5.4 peratus berbanding 10.1 juta ketibaan yang dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun 2025. Prestasi positif ini mencerminkan momentum kukuh sektor pelancongan negara sempena pelaksanaan VM2026.
Melalui sambutan berteraskan budaya seperti ini, Tourism Malaysia terus memperkukuh profil pelancongan negara di peringkat antarabangsa sambil meraikan kepelbagaian warisan budaya Malaysia selaras dengan aspirasi VM2026 dan pembangunan mampan industri pelancongan negara.
