Oleh Dr. Amirah Sariyati Mohd Yahya dan Dr. Nur Syabeera Begum Nasir Ahmad
Bermula dengan hanya kunjungan hormat tidak rasmi ke Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah Cawangan Langkawi akhirnya telah membuka satu ruang dan peluang dalam menjalin kerjasama melalui program “Executive Talk: Langkawi and Its Coastal Environment”. Program ini telah diadakan dengan jayanya pada 26 April 2026 yang lalu bertempat di Dewan Auditorium Angkatan Pertahanan Malaysia, Jalan Ayer Hangat, Langkawi. Ianya telah melibatkan sekitar 90 orang peserta termasuk 66 orang pelajar tahun kedua Pengajian Alam Sekitar, Jabatan Geografi; 2 orang pensyarah pengiring dari Jabatan Geografi (Dr. Amirah Sariyati Binti Mohd Yahya dan Dr. Nur Syabeera Begum Binti Nasir Ahmad); pegawai-pegawai kanan dari pelbagai Agensi Kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah (JAS Kedah); Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah Cawangan Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) serta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Program “Executive Talk: Langkawi and Its Coastal Environment” ini turut diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Bumi yang disambut pada 22hb April setiap tahun. Wacana Ilmu ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah iaitu; Puan Sharifah Zakiah Binti Syed Sahab. Program yang berlangsung selama setengah hari bermula dari jam 8 pagi sehingga 2 petang ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar Pengajian Alam Sekitar dalam memperoleh maklumat serta kefahaman yang mendalam terhadap bidang tugas, peranan serta cabaran yang dihadapi oleh Agensi Kerajaan dalam mengurustadbir Daerah Langkawi yang sedang berhadapan dengan dinamika pembangunan pelancongan yang pesat, di samping dalam memastikan kestabilan ekosistem masih dapat dicapai. Antara perkongsian ilmu adalah mengenai (i) Peranan dan tanggungjawab JAS Cawangan Langkawi dalam memantau kualiti alam sekitar di Daerah Langkawi; (ii) Pengurusan “E-waste”; (iii) Peranan dan tanggungjawab MPLBP dalam pembangunan Daerah Langkawi serta (iv) Pengurusan pelancongan mampan di Pulau Langkawi.
Wacana ilmu ini turut menjadi pentas terbaik bagi para pelajar untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan pengurusan alam sekitar, pengurusan pelancongan, penggunaan aplikasi teknologi seperti “GIS” dan “remote sensing” dalam mengurustadbir sesebuah daerah serta sebarang persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya kepada mereka. Daerah Langkawi berdiri sebagai model utama wilayah yang mengoptimumkan alam sekitar fizikal sebagai nadi ekonomi berasaskan pelancongan ini mampu menjadi satu contoh keadaan sebenar atau realiti yang boleh diperlihatkan oleh para pelajar dalam usaha mereka mengaplikasikan teori yang telah dipelajari di bilik darjah ke dunia sebenar.


Keunikan kedudukan geografinya yang dikurniakan landskap batu kapur, hutan paya bakau yang subur, serta formasi batuan purba melalui Formasi Machinchang, telah mengangkat statusnya sebagai UNESCO Global Geopark yang pertama di Asia Tenggara. Ciri-ciri fizikal unik ini bukan sekadar landskap semula jadi, malah merupakan aset bernilai tinggi yang menjadi daya tarikan utama pelancongan ekologi dan saintifik, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang pesat melalui sektor perkhidmatan dan perhotelan.
Di samping itu, ini juga turut menjadi satu ruang atau medium komunikasi yang telah mendekatkan jurang di antara Agensi Kerajaan dan pihak Universiti khususnya para pelajar sendiri. Pendedahan awal kepada mereka mengenai bidang dan skop tugasan Agensi Kerajaan ini juga telah memberi mereka input mengenai persediaan mereka dalam berhadapan dengan latihan industri seterusnya untuk alam pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian kelak. Di samping itu, Agensi Kerajaan terlibat juga dapat mengenali dengan lebih dekat para pelajar Pengajian Alam Sekitar yang turut serta di dalam wacana ilmu ini. Tambahan pula, dapat mengetengahkan program Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar yang ditawarkan di Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial ini, kepada pihak Agensi Kerajaan.
Sokongan dari pihak Fakulti Sastera dan Sains Sosial, khususnya Dekan Fakulti; Prof. Madya Dr. Yanti Idaya Aspura Binti Mohd Khalid, Jabatan Geografi sendiri, khususnya Ketua Jabatan; Prof. Madya Dr. Mariney Binti Mohd Yusoff, ahli-ahli Jabatan, jawatankuasa pelaksana terutama penyelaras program bersama, iaitu Puan Norafiza Binti Halim dari JAS Cawangan Langkawi, kesemua pegawai-pegawai kanan dari Agensi Kerajaan terlibat telah menjadi salah satu aspek yang memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama ini. Jalinan kerjasama yang bermula dengan seminar seperti ini akan menjadi suntikan kepada kerjasama di dalam skala yang lebih besar di masa hadapan.
Penulis adalah dari Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
