Oleh Dr. Mohd Afifuddin Mohamad
Bayangkan bangun setiap pagi tanpa mengetahui apa yang bakal berlaku esok. Tiada kewarganegaraan, tiada jaminan masa depan, tidak pasti sama ada anak-anak dapat bersekolah atau sama ada suatu hari nanti anda akan dihantar pulang ke tempat yang pernah menyaksikan keganasan dan penderitaan.
Inilah realiti yang dihadapi jutaan pelarian di seluruh dunia, termasuk komuniti Rohingya yang telah hidup dalam ketidakpastian selama beberapa dekad.
Bagi kebanyakan manusia, rumah ialah tempat berlindung, negara ialah tempat bergantung, dan identiti merupakan asas kepada harga diri. Namun, bagi ramai pelarian, ketiga-tiga perkara ini telah dirampas daripada mereka. Lebih menyedihkan, terdapat generasi yang dilahirkan sebagai pelarian dan membesar tanpa pernah merasai erti memiliki sebuah negara yang menerima mereka sepenuhnya.
Dari sudut psikologi, manusia memerlukan rasa selamat, rasa dimiliki dan harapan terhadap masa depan untuk mencapai kesejahteraan mental. Apabila elemen-elemen ini hilang, seseorang berisiko mengalami tekanan psikologi yang berpanjangan.
Ramai melihat penderitaan pelarian hanya dari aspek kemiskinan atau kekurangan keperluan asas. Hakikatnya, luka emosi yang mereka tanggung sering kali jauh lebih mendalam. Sebahagian besar pelarian pernah menyaksikan keganasan, kehilangan ahli keluarga, pengusiran secara paksa dan kemusnahan tempat tinggal.
Pengalaman traumatik seperti ini boleh membawa kepada gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), kemurungan, keresahan dan pelbagai masalah kesihatan mental yang lain.
Namun, trauma mereka tidak berakhir apabila berjaya melarikan diri. Dalam psikologi, terdapat konsep ‘ongoing trauma’ atau trauma berterusan. Pelarian bukan sahaja dibayangi kenangan pahit masa lalu, malah terus berhadapan dengan tekanan baharu seperti status undang-undang yang tidak jelas, kesukaran mendapatkan pekerjaan serta kebimbangan terhadap masa depan anak-anak.
Keadaan ini boleh diibaratkan seperti seseorang yang sedang lemas di tengah lautan. Setiap kali dia cuba timbul untuk bernafas, ombak baharu datang menghentamnya. Begitulah kehidupan seorang pelarian.
Golongan kanak-kanak pula merupakan antara yang paling terkesan. Mereka membesar dalam suasana yang dipenuhi ketidakpastian. Ramai yang tidak mempunyai akses pendidikan yang konsisten, tidak mengetahui identiti kewarganegaraan mereka, dan menyaksikan ibu bapa hidup dalam tekanan yang berpanjangan.
Keadaan ini boleh menjejaskan perkembangan emosi, sosial dan kognitif mereka. Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran sedemikian lebih berisiko mengalami keresahan kronik, masalah tingkah laku serta kesukaran membina keyakinan diri.
Satu lagi kesan psikologi yang sering berlaku ialah fenomena ketidakberdayaan yang dipelajari (learned helplessness). Apabila seseorang terlalu lama hidup dalam keadaan yang tidak dapat diubah walaupun telah berusaha, dia akhirnya mula percaya bahawa apa sahaja yang dilakukan tidak akan membawa perubahan.
Akibatnya, motivasi hidup semakin merosot dan risiko kemurungan menjadi lebih tinggi. Mereka menerima penderitaan sebagai takdir yang tidak mampu diubah.
Keadaan ini seterusnya boleh membawa kepada fenomena kehilangan harapan terhadap masa depan. Individu tidak lagi mampu membayangkan kehidupan yang lebih baik. Mereka hidup sekadar meneruskan hari demi hari tanpa hala tuju yang jelas.
Dalam masa yang sama, sebahagian komuniti pelarian cenderung hidup dalam kelompok sendiri. Mereka lebih selesa berinteraksi dengan individu yang berkongsi bahasa, budaya dan pengalaman hidup yang sama. Dari sudut psikologi sosial, keadaan ini boleh difahami kerana trauma menjadikan seseorang lebih berhati-hati dalam mempercayai pihak luar.
Namun, jika keadaan ini berlarutan, ia boleh menimbulkan cabaran integrasi sosial. Masyarakat tempatan mungkin melihat pelarian sebagai tidak mahu bergaul, manakala pelarian pula berasa tidak diterima lalu terus mengasingkan diri.
Oleh itu, usaha membantu pelarian tidak boleh tertumpu kepada bantuan kebajikan semata-mata. Program integrasi sosial perlu diperkasakan melalui pendidikan silang budaya, kelas bahasa, aktiviti komuniti dan program sukarelawan yang melibatkan kedua-dua pihak.
Dalam konteks Malaysia, pendekatan yang lebih tersusun dan holistik amat diperlukan. Kerjasama antara kerajaan, pertubuhan antarabangsa, badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan boleh membantu mengurangkan ketidakpastian yang menjadi punca utama tekanan psikologi dalam kalangan pelarian.
Akses kepada pendidikan juga perlu diperkukuhkan. Pendidikan bukan sekadar proses pembelajaran, tetapi mekanisme penting untuk membina harapan dan mengubah masa depan. Kanak-kanak yang mendapat pendidikan mempunyai peluang yang lebih besar untuk keluar daripada kitaran kemiskinan dan ketidakpastian.
Dari sudut ekonomi, peluang pekerjaan yang terkawal dan berstruktur mampu membantu pelarian hidup dengan lebih bermaruah serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kebajikan.
Perkhidmatan kesihatan mental juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius. Program kaunseling trauma, sokongan psikososial dan intervensi berasaskan komuniti boleh membantu mereka memproses pengalaman pahit yang dialami.
Dalam masyarakat yang berteraskan nilai agama seperti Malaysia, pendekatan kerohanian turut berpotensi menjadi sumber kekuatan. Sokongan daripada institusi keagamaan dan komuniti setempat mampu membantu pelarian membina semula daya tahan emosi.
Pada masa yang sama, komuniti pelarian juga perlu memainkan peranan aktif dalam proses integrasi sosial. Menghormati undang-undang negara, mempelajari bahasa Melayu dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan merupakan langkah penting ke arah hubungan yang lebih harmoni.
Akhirnya, isu pelarian bukan sekadar isu politik atau kemanusiaan. Ia juga merupakan isu kesihatan mental dan maruah insan. Hidup tanpa negara mungkin merampas hak seseorang, tetapi hidup tanpa harapan boleh merampas jiwanya.
Sebagai masyarakat yang terkenal dengan sifat prihatin dan nilai kemanusiaan, kita perlu melihat isu ini dengan penuh hikmah dan keseimbangan. Pelarian perlu dibantu untuk bangkit daripada trauma dan membina kehidupan yang lebih baik, manakala mereka juga perlu dibimbing untuk menyesuaikan diri dengan norma masyarakat setempat.
Hanya melalui gabungan belas ihsan, keadilan dan tanggungjawab bersama, mereka yang hidup dalam ketidakpastian dapat diberikan peluang untuk kembali membina harapan. Dalam dunia pelarian, harapan bukan sekadar satu perasaan, tetapi talian hayat yang menentukan sama ada seseorang terus bertahan atau tenggelam dalam keputusasaan.

Penulis merupakan Pensyarah Psikologi dan Psikospiritual di Jabatan Kesihatan Komuniti, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia.
