Oleh: Nurul Ashikin Alias
Semenjak beberapa dekad kebelakangan ini selepas tahun 2000, teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) telah muncul sebagai pemacu utama dalam mempengaruhi perubahan ekonomi dan sosial. Teknologi ini bukan sahaja berupaya mengubah sistem operasi sesebuah organisasi, malah membuka peluang baharu kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup. Dalam konteks kemiskinan, teknologi AI berpotensi menjadi medium strategik untuk membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya keluar daripada kepompong kemiskinan melalui akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, dan peningkatan produktiviti.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu peranan utama AI adalah berperanan untuk memperluas akses masyarakat kepada pendidikan berkualiti. Platform pembelajaran digital berasaskan AI mampu menyediakan konteks kandungan yang dibentuk dan dicorakkan mengikut tahap kefahaman pelajar. Ini amat penting bagi masyarakat luar bandar dan golongan B40 yang sering berhadapan dengan kekangan akses kepada pendidikan berkualiti. Kewujudan tutor maya dalam sistem pendidikan berasaskan AI mampu memainkan peranan untuk analisa pembelajaran, dan sistem cadangan pintar. Keadaan ini membolehkan pelajar untuk belajar secara kendiri dengan lebih efektif. Secara tidak langsung, ini mampu membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.
Selain itu, pembangunan teknologi AI turut membuka ruang dan peluang kewujudan pekerjaan baharu, khususnya bagi sektor pekerjaan yang terlibat dengan ekonomi digital. Pekerjaan seperti penganalisa data, pembangunan aplikasi, dan pengurus kandungan digital semakin mendapat permintaan tinggi. Walaupun terdapat kebimbangan bahawa teknologi AI akan menggantikan pekerjaan sedia ada. Namun, realitinya teknologi ini juga mampu mencipta pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran berbeza. Melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran membolehkan golongan berpendapatan rendah mendapat manfaat untuk meningkatkan taraf pendapatan mereka menggunakan teknologi AI. Tambahan pula, platform ekonomi gig yang dipacu AI turut membolehkan individu menjana pendapatan tanpa memerlukan modal besar.
Manakala, dalam sektor keusahawanan, AI berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan perniagaan kecil dan sederhana (PKS). Usahawan mikro kini boleh menggunakan instrumen AI untuk menganalisa pasaran dan memahami tingkah laku pelangan. Melalui hasil dapatan analisa membolehkan pengusaha untuk merancang strategi pemasaran dengan lebih berkesan, membuat keputusan yang lebih tepat serta mengurangkan risiko kerugian . Sebagai contoh, penggunaan chatbot dapat membantu meningkatkan perkhidmatan pelanggan dengan lebih berkesan tanpa kos tenaga kerja yang tinggi. Ini memberi kelebihan kepada golongan usahawan kecil untuk bersaing dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Selain daripada aktiviti keusahawanan, teknologi AI juga berpotensi meningkatkan kecekapan dalam sektor pertanian, yang merupakan salah satu sumber pendapatan utama bagi banyak komuniti berpendapatan rendah. Teknologi seperti pertanian pintar (smart farming) yang menggunakan terknologi AI mampu berperanan untuk memantau keadaan tanah, cuaca, dan tanaman secara masa nyata. Keadaan ini membolehkan para petani membuat keputusan yang lebih tepat mengenai penggunaan baja, air, dan racun perosak, sekali gus dapat meningkatkan hasil dan mengurangkan kos. Dengan peningkatan produktiviti ini, pendapatan petani dapat dipertingkatkan, seterusnya membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kawasan luar bandar.
Walaupun penggunaan AI mampu berfungsi sebagai medium pembasmian kemiskinan. Namun, keadaan ini tidak terlepas daripada cabaran jurang digital di kalangan masyarakat sebagai isu utama yang perlu ditangani. Tidak semua lapisan masyarakat mempunyai akses kepada internet, peranti digital, atau kemahiran teknologi yang mencukupi. Namun, tanpa intervensi menyeluruh yang berkesan, penggunaan AI berisiko memperluas lagi jurang ketidaksamaan antara golongan kaya dan miskin. Oleh itu, usaha untuk memperluas akses kepada infrastruktur digital dan meningkatkan literasi teknologi di kalangan masyarakat terutamanya kawasan luar bandar adalah sangat penting. Selain itu, aspek etika dan tadbir urus juga perlu diberi perhatian, di mana penggunaan AI perlu memastikan keadilan, ketelusan, dan perlindungan data peribadi pengguna. Oleh itu, pembangunan dan pelaksanaan AI perlu berpaksikan prinsip inklusiviti dan keadilan sosial.
Pihak kerajaan, sektor swasta, dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan AI dimanfaatkan secara optimum untuk pembasmian kemiskinan. Polisi yang menyokong inovasi teknologi, pelaburan dalam pendidikan digital, serta program latihan kemahiran perlu diperkukuh. Selain itu, kerjasama antara pelbagai pihak perlu dipertingkatkan bagi memastikan manfaat AI dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan yang paling terpinggir.
Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa teknologi AI mempunyai potensi besar sebagai medium untuk membantu masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan. Namun, kejayaan ini bergantung kepada sejauh mana teknologi ini dapat diakses, difahami, dan dimanfaatkan secara inklusif. Dengan pendekatan yang holistik dan beretika, AI bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi individu, malah menyumbang kepada pembangunan sosial yang lebih seimbang dan mampan.

Penulis merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya
