Saya percaya kita perlu berlaku adil terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau memimpin negara selepas pandemik dalam suasana ekonomi global yang jauh berbeza, dengan konflik geopolitik, gangguan perdagangan, ketidaktentuan harga tenaga dan tekanan kos sara hidup.
Ekonomi Malaysia bukan gagal sepenuhnya. Pertumbuhan KDNK mencecah 6 peratus pada suku kedua 2026. Namun angka makroekonomi yang baik belum semestinya dirasai di dapur rakyat. Inilah jurang yang sedang membahayakan Anwar dan Pakatan Harapan.
Tinjauan Merdeka Center yang dikeluarkan pada Jun menunjukkan Anwar masih mencatat kelulusan tertinggi dalam kalangan pemimpin politik, iaitu 52 peratus. Namun, 50 peratus responden merasakan negara menuju ke arah yang salah, manakala 73 peratus menamakan ekonomi sebagai isu utama. Keputusan pilihan raya negeri kebelakangan ini pula menunjukkan bahawa populariti peribadi Anwar tidak semestinya diterjemahkan menjadi keyakinan terhadap PH.
Masalah Anwar hari ini bukan semata-mata prestasi beliau. Sebahagian modal politiknya turut terhakis kerana tindakan dan kenyataan anggota di bawah Kabinet, pimpinan parti PH serta individu yang berada dalam lingkungan kepercayaannya.
Setiap kali seorang Menteri atau wakil rakyat PH memberi jawapan yang defensif, reaktif, merendahkan kebimbangan rakyat atau bercanggah dengan realiti di lapangan, Anwar yang membayar harganya. Seorang Perdana Menteri tidak boleh dipisahkan daripada pasukan yang dilantik dan dipercayainya.
Pengakuan Datuk Seri Fahmi Fadzil bahawa pencapaian kerajaan belum disampaikan atau dirasai dengan baik menunjukkan masalah komunikasi ini memang wujud. Kerajaan tidak boleh sekadar mengumumkan dasar dan kemudian menganggap rakyat sudah memahaminya. Pengumuman bukan komunikasi.
Kementerian Komunikasi perlu menerangkan dalam bahasa mudah, apakah masalah yang hendak diselesaikan ?, siapa yang mendapat manfaat?, bila hasilnya boleh dirasai? dan apakah data yang membuktikan kejayaannya?. Tugas komunikasi kerajaan bukan sekadar mempertahankan setiap keputusan Putrajaya atau menafikan kemarahan rakyat.
Anwar sendiri juga perlu mengurangkan “sembang gempar” di atas pentas. Rakyat tidak lagi menilai berdasarkan kehebatan pidato semata-mata. Lebih besar janji yang dibuat, lebih tinggi jangkaan yang dicipta.
Kurangkan janji besar. Lebihkan sasaran yang boleh diukur, tarikh pelaksanaan dan laporan kemajuan yang boleh diperiksa rakyat.
Perkara sama terpakai kepada janji lama PH seperti penyusunan semula bayaran PTPTN dan penghapusan tol secara berperingkat, pengurangan harga minyak. Kita memahami bahawa pandemik dan keadaan ekonomi dunia telah mengubah kemampuan fiskal negara. Tetapi perubahan keadaan bukan alasan untuk membiarkan janji lama hilang tanpa penjelasan.
Kerajaan harus menerbitkan papan pemuka manifesto yang menyatakan secara terbuka, janji yang telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan, ditangguhkan, diubah atau tidak lagi mampu diteruskan berserta sebab dan implikasi kewangannya. Rakyat boleh menerima realiti yang sukar, tetapi mereka sukar menerima sikap berdiam diri atau alasan yang sentiasa berubah.
Isu paling mendesak selepas kos sara hidup ialah kemiskinan. Data rasmi menunjukkan kemiskinan mutlak pada 2024 masih 5.1 peratus, manakala kemiskinan relatif ialah 16.7 peratus. Tetapi maklumat keluarga miskin masih berada dalam pelbagai system, eKasih di bawah ICU, PADU, Jabatan Kebajikan Masyarakat, agensi negeri, pusat zakat dan NGO.
Bagaimana kerajaan mahu memastikan tiada keluarga tercicir jika sebuah keluarga perlu wujud dalam beberapa pangkalan data yang menggunakan definisi, jadual kemas kini dan proses kelayakan berbeza?
Kerajaan perlu mewujudkan satu Daftar Perlindungan Sosial Nasional sebagai “single source of truth”. Ini tidak semestinya bermaksud semua data mentah dihimpunkan dalam satu pelayan. Sebaliknya, perlu ada satu rekod isi rumah yang boleh disahkan, standard kemiskinan yang seragam, integrasi selamat antara agensi, mekanisme rayuan dan kemas kini masa nyata.
Akhir sekali, Anwar dan PH mesti berani membincangkan peralihan kepimpinan. Sekiranya Anwar percaya satu penggal lagi diperlukan untuk menyelesaikan agenda reformasi, beliau perlu menyatakannya secara jujur dan pada masa yang sama mula membina pengganti serta pasukan generasi seterusnya sekarang.
Pelan penggantian bukan bermaksud menobatkan seorang pewaris. Ia bermaksud menyediakan proses yang terbuka, berasaskan merit dan meyakinkan rakyat bahawa PH mempunyai masa depan selepas Anwar.
PH tidak boleh terus bergantung pada ketakutan bahawa rakyat akan kembali kepada BN, PN atau PAS. Kesetiaan pengundi reformasi bukan cek kosong. Mereka memerlukan sebab positif untuk terus percaya kepada PH.
Ini bukan seruan untuk menolak Anwar. Ini adalah amaran awal daripada rakyat yang masih mahu agenda reformasi diselamatkan.
Anwar masih mempunyai masa. Tetapi masa untuk berpidato semakin singkat. Sekarang ialah masa untuk membuktikan hasil, membetulkan pasukan, dan menunjukkan siapa yang akan meneruskan perjuangan selepas beliau.
Fikirkanlah dengan bijaksana.
Oleh :
Muhammad Shahrizul Muiz
Anak Pulau Pinang
