IPOH, 25 Ogos (Bernama) — Pengarah dan pelakon veteran tersohor tanah air, Datuk Rahim Razali menerima Anugerah Tokoh Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Komunikasi dan Media) bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.
Pemilik nama penuh Abdul Rahim Mohd Razali berusia 87 tahun, seorang anak jati Batu Gajah, Perak yang juga pengulas sukan terkenal itu, pernah berkhidmat sebagai pembantu penyiaran di RTM sebelum menubuhkan syarikat sendiri, iaitu Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd pada 1981.
Pelakon filem Abang dan Abang 92 itu pernah menerbitkan 50 drama untuk RTM dan 15 filem dengan lapan filemnya pernah terpilih ke Festival Filem Tokyo di Jepun.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah tokoh Maulidur Rasul negeri Perak bagi tahun ini termasuk kepada Rahim yang membawa pulang RM5,000 berserta plak.
Sementara itu, ibu tunggal kepada 15 cahaya mata berasal dari Kuala Kurau, Yang Walat, 82, dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali atau Anugerah Keluarga Amar Yassir yang membawa pulang RM10,000, pakej umrah dan plak.
Anugerah Ibnu Abbas atau Tokoh Pendakwah pula diberikan kepada Radhi Kamarul Hailan, 56, manakala Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Siak) disampaikan kepada Saharuddin Hassim, 74, dan Yahya Man, 83, dianugerahkan Tokoh Bilal.
Selain itu, Anugerah Tokoh Imam diberikan kepada Mohd Hanafiah Idris, 56, dan Pertubuhan Wanita Prihatin Perak menjadi penerima Anugerah Tokoh Pertubuhan Bukan Kerajaan.
— BERNAMA
TAG: Maulidur Rasul, Perak, Sultan Nazrin Shah, Rahim Razali, tokoh
