SEREMBAN, 24 Nov (Bernama) — Duit di tangan hanya mengizinkan M. Kavita membeli setongkol jagung yang kemudian dibawa balik dan dipotong kepada lima bahagian demi memastikan setiap anaknya dapat merasai makanan itu.
Memori yang tercipta ketika anak-anaknya masih kecil itu diimbau wanita ini ketika menyoroti kisah hidupnya membesarkan lima anak, termasuk seorang yang mengalami kurang upaya dari segi pembelajaran atau lembam, dalam serba kesempitan.
Kavita hanya bersekolah setakat darjah enam dan tidak begitu mahir membaca, justeru tidak banyak peluang pekerjaan yang terbuka untuknya selain daripada kerja-kerja rencam bergaji hari termasuk mengambil upah membersihkan rumah orang.
“Masa tu saya benar-benar tidak ada duit dan hanya dapat beli setongkol jagung untuk dijamah anak-anak,” kongsi Kavita, 50.
Pun begitu, nasib mereka sekeluarga berubah sedikit apabila dia berjaya mendapat pekerjaan tetap sebagai pekerja pembersihan di sebuah syarikat pada 2010.
“Saya kerja di syarikat itu selama empat tahun, kemudian dapat pekerjaan dengan SWM Environment hinggalah sekarang,” ceritanya.
Selepas bertahun-tahun menempuh pelbagai kepayahan dan melakukan pengorbanan demi pengorbanan untuk membesarkan anak-anak, Kavita kini boleh mendabik dada, malah duduk diam di rumah kalau dia mahu. Masakan tidak, kesemua anaknya mempunyai kerjaya yang stabil termasuk jururawat, pramugari dan guru. Malah anak bongsunya juga bakal bergelar juruterbang.
BANGGA DENGAN PEKERJAAN
“Saya kerja tukang sapu. Buat apa nak malu. Pekerjaan ini juga satu bidang yang mulia,” tegasnya.
Malah, nilai sama turut diterapkan pada anak-anaknya agar mereka tidak malu dengan pekerjaan si ibu.
Kavita baru-baru ini tular selepas lima anaknya datang ke tempat dia bekerja dengan berpakaian mengikut profesion masing-masing sebagai kejutan ulang tahun kelahirannya yang ke-50.
Kisahnya itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengulas menerusi hantaran di Facebooknya. Anwar berkata segala penat lelah dan pengorbanan Kavita akhirnya terbalas apabila kelima-lima anaknya berjaya dalam bidang masing-masing.
Anak jati Seremban ini mendirikan rumahtangga pada usia 16 tahun selepas berhenti sekolah setakat darjah enam kerana kemiskinan. Sejak itu, dia melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup.
“Saya menceburi bidang pembersihan kerana saya melihat hanya itulah peluang pekerjaan yang terbuka untuk saya. Saya tidak kisah asalkan saya dapat membesarkan anak-anak dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka,” katanya.
Kavita amat mengutamakan disiplin dalam kehidupannya. Memulakan hari seawal 5 pagi, dia memastikan segala keperluan anak-anak dan urusan rumah tangga siap sebelum dia ke tempat kerja.
“Saya akan pastikan saya tiba di tempat kerja selewat-lewatnya pada 7.30 pagi. Biarpun panas terik atau hari hujan, saya tetap siapkan kerja dan kawasan saya bersih menjelang 4.30 petang,” katanya yang kini bertugas membersihkan kawasan sekitar Dataran Centrio 2 di sini, dari Isnin hingga Sabtu.
Komitmen pada tugas turut menyaksikan Kavita menerima Anugerah Sumbangan Keprihatinan Khas bersempena dengan Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026 anjuran SWCorp Malaysia pada Ogos lepas.
PENGORBANAN DEMI MASA DEPAN LIMA ANAK
Bercerita lanjut, wanita ini mengakui anak-anak adalah pendorong utamanya untuk terus bekerja keras bagi memastikan mereka mendapat pendidikan, kerana dia percaya hanya dengan cara itu anak-anaknya dapat membaiki taraf hidup.
Dalam keadaan serba terbatas, dia lebih mengutamakan keperluan anak-anak, khususnya berkaitan pelajaran, berbanding kehendak sendiri termasuk mengetepikan hasrat membeli pakaian atau barangan peribadi.
Malah, walaupun cuma berpendidikan setakat sekolah rendah, ibu cekal ini tetap meluangkan masa kira-kira sejam setiap malam untuk menemani anak-anak belajar dan mengulang kaji pelajaran.
“Saya tidak mahu anak-anak melalui kesukaran hidup seperti yang saya jalani,” katanya yang turut mengajar anak erti berhemat dalam perbelanjaan selain berkongsi barang permainan.
Mendedahkan yang dia pernah bercita-cita menjadi jururawat, Kavita bagaimanapun tetap berbangga kerana anak sulungnya L. Barathi, 35, merealisasikan impian itu untuknya dan kini bekerja di Singapura.
Anak keduanya L. Hema, 33, bekerja sebagai pramugari; yang ketiga L. Santiya, 29, seorang guru; dan yang bongsu L. Priya Darsini, 21, sedang mengikuti latihan sebagai juruterbang.
Anak keempatnya yang juga anak lelaki tunggal, L. Yumalraj, 26, walaupun berstatus OKU pembelajaran, turut tahu berdikari dan kini bekerja bersama-samanya di SWM Environment.
Dalam pada itu, Kavita menasihati golongan ibu supaya tidak mudah berputus asa dalam membesarkan anak-anak tetapi terus berusaha dan memberikan tumpuan kepada pendidikan serta masa depan mereka.
“Usaha ibu bapa mencari rezeki dan memastikan anak-anak mendapat pendidikan merupakan satu pengorbanan yang besar. Ibu bapa perlu terus memberikan dorongan kepada anak-anak khususnya dalam pendidikan selain mengajar mereka menghargai setiap usaha dan pengorbanan keluarga,” katanya.
Bagi Kavita, kejayaan seorang ibu bukan diukur pada kemewahan yang mampu diberikan kepada anak-anak, tetapi pada peluang untuk mereka membina kehidupan yang lebih baik.
SOKONGAN IBU PEMBAKAR SEMANGAT
Sementara itu, Hema berkata sejak kecil dia tidak pernah melihat ibunya membeli sesuatu untuk diri sendiri, sebaliknya sentiasa mengutamakan keperluan mereka lima beradik.
“Sekarang kami semua sudah bekerja dan ingin melihat ibu berehat, selain membelikan apa sahaja yang dia mahu.
“Saya dan adik-beradik sering berasa bimbang melihat ibu bekerja di bawah panas matahari dan ketika hujan. Kami pernah memujuknya supaya berhenti kerja. Bagaimanapun, ibu tetap dengan pendiriannya kerana masih menyukai pekerjaan itu dan mahu terus bekerja,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Hema turut berkongsi ibunya adalah tempat dia mendapatkan kekuatan, terutama ketika berdepan kekecewaan selepas beberapa kali gagal dalam permohonan pekerjaan sebagai kru kabin di beberapa syarikat penerbangan.
Katanya, setiap kali berdepan kegagalan, Kavita tidak pernah jemu memberikan kata-kata semangat dan mengingatkannya supaya tidak mudah mengalah.
Berpegang pada kata-kata ibu, Hema akhirnya diterima bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan di negara jiran dan kini sudah lapan tahun berkhidmat di syarikat tersebut.
IMPIAN MEMBAHAGIAKAN IBU
Berkongsi sisi lain ibunya, Hema berkata wanita itu mempunyai minat mendalam terhadap bidang masakan dan pembuatan kuih seperti kek dan biskut. Malah, muruku buatan ibunya “laris” dalam kalangan rakan-rakan, terutama semasa perayaan Deepavali.
“Minat ibu ini bukan sekadar mengisi lapang, tetapi cara ibu tunjukkan kasih sayang kepada keluarga dan orang sekeliling,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Hema berkata dia dan adik-beradiknya merancang untuk membuka sebuah kafe buat Kavita bagi membolehkan ibu mereka melakukan perkara yang diminati.
“Ini juga satu daripada cara kami membalas jasa ibu selepas bertahun-tahun bekerja keras membesarkan kami.
“Namun, perancangan kami ini belum dapat direalisasikan kerana ibu mahu selesaikan komitmen kerja dengan syarikatnya sekarang,” katanya.
