TANJONG MALIM, 24 Nov (Bernama) — Kira-kira setahun lepas, hati Grace Ezra anak Bunad, gadis Bidayuh dari pedalaman Lundu, Sarawak pernah terdetik untuk melupakan sahaja impian menjejakkan kaki ke menara gading gara-gara dihimpit kekangan kewangan selepas kehilangan tempat bergantung.
Bagi gadis berusia 20 tahun itu, pemergian bapanya, Bunad anak Jawi akibat kemalangan jalan raya ketika dia berusia 17 tahun, tepat sebelum menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memberikan tamparan hebat buat keluarganya di Kampung Seraya Hilir, Lundu.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata ibunya hanya bergantung pada hasil bertani secara kecil-kecilan untuk menyara kehidupan, manakala adik-beradiknya yang lain sekadar bekerja sebagai pelayan kedai makan dan buruh.
“Selepas tamat matrikulasi di Sarawak, ketika menerima tawaran menyambung pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), saya memang risau dan hampir putus asa kerana memikirkan kos sara hidup serta yuran pendaftaran mencecah RM1,500 yang perlu dikumpul dalam tempoh singkat.
“Pada waktu itu, saya fikir pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dibayar balik sepenuhnya dan kos belajar terlalu tinggi untuk keluarga kami tanggung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, harapan mula menyinari penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik itu apabila dikunjungi pensyarah UPSI ke kediamannya di Sarawak bagi meninjau latar belakang keluarganya sebelum dia mendaftar masuk pada September tahun lepas.
Sebagai anak pertama dalam keluarga yang berjaya melangkah ke institusi pengajian tinggi, Grace Ezra terpilih sebagai penerima inisiatif Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 4.0 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Grace Ezra yang bercita-cita menjadi guru Matematik itu berkata menerusi bantuan biasiswa SULUNG, kos yuran pengajian setiap semester berjaya diringankan, selain turut merangkumi yuran makmal, kesihatan dan sukan.
“Saya juga semakin bersemangat apabila mengetahui pinjaman PTPTN berpeluang ditukar kepada biasiswa sekiranya saya mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang,” katanya yang kini berada pada semester ketiga pengajian.
Selain bantuan kewangan daripada KPT, Grace Ezra turut memanfaatkan pelbagai inisiatif lain termasuk bantuan khas kewangan negeri Sarawak berjumlah RM600 setiap semester, baucar komputer bernilai RM3,000, baucar buku, subsidi tiket penerbangan serta kemudahan Dapur Siswa MADANI di kampus.
Menurut gadis cekal itu, program SULUNG bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi juga menyediakan sokongan moral menerusi unit kaunseling universiti yang sentiasa memantau perkembangan akademiknya.
“Bantuan ini menjadi pendorong utama untuk saya tidak mengecewakan pihak yang telah membiayai pengajian saya. Saya yakin hanya melalui ilmu pengetahuan yang mampu mengubah nasib serta meningkatkan taraf hidup ibu dan keluarga di kampung,” katanya.
Program SULUNG ialah inisiatif KPT bagi membantu anak daripada keluarga B40 yang menjadi individu pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam mana-mana bidang pengajian di Universiti Awam.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata daripada SULUNG 1.0 hinggalah SULUNG 4.0, sebanyak 206 pelajar UPSI telah menerima bantuan inisiatif tersebut.
“Program SULUNG merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dalam membuka ruang dan peluang pendidikan tinggi kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya mereka yang menjadi generasi pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke universiti.
“Bantuan yang disalurkan bukan sekadar meringankan beban kewangan melibatkan yuran pengajian dan keperluan pembelajaran, malah turut memberikan keyakinan, motivasi serta sokongan berterusan kepada pelajar untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.
“Kisah Grace Ezra anak Bunad membuktikan bahawa keterbatasan sosioekonomi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang anak untuk mengejar cita-cita dan mengubah masa depan keluarganya melalui pendidikan,” katanya.
