ISTANBUL, 17 Ogos (Bernama-Anadolu) — Seorang doktor Palestin cedera pada Ahad akibat diserang pendatang haram Israel di selatan Tebing Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pentadbiran Baitulmuqaddis berkata kira-kira 10 pendatang haram Israel menyerang Dr Majid Aliyan Dweikat dari kampung Sur Bahir di Baitulmuqaddis ketika beliau berada di kawasan Janata, timur Bethlehem.
Mereka memukul Dweikat menggunakan batu dan kayu sehingga tangannya patah, selain memecahkan cermin kenderaannya.
Menurut agensi berita rasmi Palestin WAFA, pendatang haram Israel turut menyerang kenderaan milik rakyat Palestin di jalan yang menghubungkan Ramallah di tengah Tebing Barat dengan Nablus di utara.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan itu.
Di barat Nablus, pendatang haram Israel menyerang sebuah rumah di pinggir kampung Beit Imrin dan menahan beberapa rakyat Palestin.
Tiada maklumat diperoleh mengenai keadaan mereka yang ditahan.
Laporan menyebut terdapat kecederaan di kawasan itu dan tentera Israel menghalang ambulans daripada tiba di lokasi kejadian.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin turut berkata tentera Israel menghalang pasukan ambulans daripada menjalankan operasi di Beit Imrin.
— BERNAMA-ANADOLU
TAG: Israel, doktor Palestin, Tebing Barat, Bethlehem
