PUTRAJAYA, 22 APRIL 2026 – PEKIDA Daerah Putrajaya memandang serius penganjuran pesta air yang dikenali sebagai “Bukit Bintang 3-Day Water Musical Festival” yang dijadualkan berlangsung bermula 1 Mei 2026 di kawasan Bukit
Bintang, Kuala Lumpur.
Penganjuran acara berskala besar di tengah-tengah ibu kota ini menimbulkan pelbagai persoalan,
khususnya dari sudut sensitiviti budaya, ketertiban awam serta kesesuaiannya dengan nilai-nilai
masyarakat tempatan. Lebih membimbangkan, festival ini dilihat berpotensi bertentangan dengan prinsip
Malaysia sebagai sebuah negara Islam berpelembagaan yang meletakkan Islam sebagai Agama
Persekutuan. Justeru, sebarang bentuk penganjuran yang berisiko menjejaskan tatasusila awam wajar
diteliti secara menyeluruh demi memelihara kedaulatan Perlembagaan.
Walaupun PEKIDA Daerah Putrajaya mengiktiraf kepentingan sektor pelancongan dalam merangsang
ekonomi negara, perkara tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan keseimbangan
sosial serta norma masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan berpegang teguh kepada adat serta
nilai agama.
Dalam masa yang sama, kami turut menyelar pendirian YB Dato’ Sri Tiong King Sing yang dilihat seolaholah terlalu terbuka dalam menyokong penganjuran program seumpama ini tanpa penelitian menyeluruh
terhadap implikasi jangka panjang. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab, aspek kepekaan
terhadap keresahan rakyat serta kesan sosial seharusnya menjadi keutamaan sebelum sebarang
kelulusan diberikan, bagi mengelakkan polemik yang tidak perlu.
PEKIDA Daerah Putrajaya menegaskan bahawa naratif pembangunan industri pelancongan mestilah
bergerak seiring dengan identiti nasional. Sebarang penganjuran acara awam tidak boleh mengabaikan
nilai-nilai murni masyarakat. Oleh itu, proses penilaian yang lebih ketat merangkumi aspek keselamatan,
kawalan sosial serta kesesuaian lokasi adalah amat penting bagi memastikan imej negara terus
terpelihara.
Sehubungan itu, PEKIDA Daerah Putrajaya menggesa pihak berwajib serta agensi berkaitan untuk menilai
semula penganjuran festival ini. Garis panduan yang lebih tegas dan komprehensif perlu diwujudkan bagi
memastikan keharmonian masyarakat serta imej negara sentiasa terpelihara daripada sebarang kesan
negatif.
