Petaling Jaya, 16 April 2026 – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menyambut ulang tahun ke-25 sempena Mesyuarat Agung Tahunan, sekali gus memperkukuh kesediaan industri untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam piawaian kandungan. Ini termasuk pelaksanaan Kod Kandungan baharu yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), perlindungan kanak-kanak serta tanggungjawab platform.
Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia Edisi Ke-4 yang akan datang bakal memperkenalkan peruntukan berkaitan kandungan janaan AI, memperkukuh perlindungan kanak-kanak, menyediakan pertimbangan yang lebih jelas untuk komuniti rentan serta memperkasa tanggungjawab platform selaras dengan pindaan terkini Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian.
Selain Kod tersebut, CMCF juga sedang membangunkan Sub-Kod bagi industri permainan dalam talian bersama Garis Panduan baharu untuk Pempengaruh dan Kandungan Janaan AI. Langkah ini menandakan usaha yang lebih meluas untuk menangani risiko serta tanggungjawab yang semakin berkembang dalam ekosistem digital.
Usaha ini dilaksanakan dalam konteks peningkatan penglibatan orang awam terhadap isu kandungan. Pada tahun 2025, Biro Aduan CMCF menerima 1,198 aduan. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 57% berbanding tahun sebelumnya dan menunjukkan kepekaan orang awam yang semakin meningkat terhadap piawaian kandungan. Kes yang dibangkitkan merangkumi pengiklanan produk vape dalam kandungan berita, penggunaan bahasa kesat di radio dan paparan babak tidak sopan dalam drama televisyen.


Ditubuhkan pada tahun 2001, CMCF beroperasi dalam persekitaran media yang sebahagian besarnya bersifat linear dan berpusat. Dalam tempoh dua setengah dekad yang lalu, ekosistem kandungan telah berubah secara ketara, dipacu oleh kemunculan media sosial, platform digital dan kandungan janaan pengguna.
Seiring perubahan tersebut, CMCF telah memperluaskan keahliannya melangkaui media tradisional dengan penyertaan penyedia perkhidmatan teknologi, media dan digital, sekali gus mencerminkan pendekatan tanggungjawab bersama yang lebih meluas merentas landskap kandungan. Keahlian pelbagai pihak berkepentingan ini turut berkembang dengan melibatkan organisasi masyarakat sivil, ahli akademik dan persatuan profesional, seterusnya memperkaya perspektif dalam pembangunan piawaian serta memastikan keselarasan dengan jangkaan awam.


Pengerusi CMCF, Datuk Rafiq Razali berkata evolusi ekosistem ini telah memperkukuh kepentingan kawal selia kendiri, bukan mengurangkannya.
“Walaupun cara kandungan dicipta, dikongsi dan digunakan telah berubah secara ketara, keperluan terhadap amalan bertanggungjawab kekal konsisten. Kawal selia kendiri terus menyediakan kerangka kerja yang praktikal dan adaptif bagi industri mengimbangi inovasi dengan akauntabiliti,” katanya.
CEO CMCF, Mediha Mahmood menambah bahawa pada fasa seterusnya, CMCF akan memberi tumpuan untuk memastikan piawaian kekal relevan dalam persekitaran yang berubah pantas.
“Peranan kami adalah untuk memastikan piawaian sentiasa berkembang seiring dengan perkembangan ekosistem, berpaksikan realiti industri dan kepentingan masyarakat. Ini memerlukan kerjasama berterusan merentas platform, pencipta dan komuniti,” katanya.
Bersempena ulang tahun ke-25 ini, CMCF terus memperkukuh peranannya dalam memacu kawal selia kendiri sebagai asas penting dalam tadbir urus kandungan di Malaysia, dengan penekanan kepada tanggungjawab bersama merentas seluruh ekosistem digital.
