SHAH ALAM 14, April 2026 – Pengerusi RESPA SLC Selangor, Dato’ Pahlawan Zakaria bin Yusof menegaskan bahawa persatuan itu bukan sekadar wadah biasa, tetapi platform kebersamaan, kebajikan dan kesinambungan perjuangan bekas anggota keselamatan yang pernah mengorbankan nyawa demi negara.
Dalam perutusan beliau pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) RESPA SLC Selangor Kali Ke-4 yang berlangsung baru-baru ini, Dato’ Pahlawan Zakaria menyatakan kesyukuran atas kesempatan berhimpun semula.
“Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita masih diberi kesempatan untuk berhimpun dalam Mesyuarat Agung Tahunan RESPA SLC Selangor Kali Ke-4 pada hari yang penuh bermakna ini,” katanya.
Beliau menekankan bahawa ahli RESPA bukanlah “orang biasa”. Mereka adalah insan yang pernah mengorbankan masa, tenaga dan nyawa demi menjaga keamanan negara serta kesejahteraan rakyat.
“RESPA bukan sekadar sebuah persatuan. RESPA adalah wadah kebersamaan, kebajikan dan kesinambungan perjuangan kita,” ujarnya.
Dato’ Pahlawan Zakaria turut merakamkan penghargaan tinggi kepada kepimpinan RESPA Pusat atas sokongan berterusan yang menjadi ‘tulang belakang’ kepada setiap usaha dan program RESPA Selangor. Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada YDH Ketua Polis Selangor yang sentiasa memberi sokongan dan membuka ruang kerjasama.
Namun, beliau turut mengingatkan ahli supaya jujur dengan diri sendiri. Menurutnya, persatuan tidak akan bergerak hanya dengan semangat semata-mata, tetapi memerlukan sokongan berterusan daripada ahli, termasuk melunaskan yuran tahunan.
“Saya ingin menyeru dengan penuh harapan agar semua ahli dapat melunaskan yuran tahunan. Mungkin jumlahnya kecil pada pandangan kita, tetapi bagi persatuan, ia adalah nadi yang menghidupkan segala aktiviti kebajikan, bantuan kepada rakan-rakan yang memerlukan, dan usaha menjaga kebajikan kita bersama,” tegasnya.
Beliau menambah, kekuatan RESPA bukan terletak pada jawatankuasa sahaja, tetapi pada kesatuan dan komitmen semua ahli.
“Kita pernah berdiri di barisan hadapan menjaga keselamatan negara. Hari ini, kita perlu berdiri bersama menjaga kebajikan sesama kita. Selagi kita bersatu, saling menyokong dan tidak melupakan tanggungjawab, InsyaAllah RESPA Selangor akan terus kukuh, dihormati dan memberi manfaat kepada semua ahlinya,” katanya.
