KUALA LUMPUR, 2 April 2026 — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peniaga dan pihak terlibat atas kerjasama erat dalam menjayakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026.
Skim yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac 2026 itu berjaya mencapai objektif utamanya iaitu membantu meringankan kos sara hidup rakyat sepanjang musim perayaan, selaras dengan komitmen Kerajaan memelihara kesejahteraan masyarakat terutamanya ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam kenyataan media hari ini, KPDN menyatakan pihaknya telah melipatgandakan usaha pemantauan dengan menjalankan sebanyak 13,194 pemeriksaan di seluruh negara — peningkatan ketara berbanding 7,258 pemeriksaan pada tahun 2025. Anggota penguat kuasa ditempatkan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit bagi memastikan peniaga kekal patuh terhadap skim tersebut.
Hasil pemantauan, sebanyak 896 kes tindakan diambil dengan nilai kompaun berjumlah RM99,800.00, manakala nilai sitaan direkodkan sebanyak RM32,015.70. Daripada jumlah keseluruhan, 892 kes melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu, dua kes tiada tanda harga dan dua kes lagi menjual melebihi harga maksimum.
“Meskipun terdapat peningkatan tindakan kes, majoriti peniaga di seluruh negara tetap menunjukkan tahap kerjasama yang tinggi dan mematuhi harga maksimum bagi 27 jenis barangan terkawal yang diwartakan,” kata kenyataan itu.
KPDN turut menghargai komitmen pihak industri dan para peniaga yang menjadi penyumbang utama kejayaan skim ini.
Menurut kenyataan, walaupun terdapat tekanan kos akibat peperangan di Timur Tengah yang mempengaruhi harga minyak dunia, gangguan laluan perdagangan antarabangsa serta kenaikan kos logistik dan import makanan, pelaksanaan SHMMP membolehkan rakyat terus membeli barangan keperluan pada harga berpatutan dengan bekalan yang mudah diperoleh.
Secara keseluruhan, SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 berjalan lancar hasil pemantauan rapi Kementerian serta maklum balas positif orang ramai. KPDN akan terus memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan bagi memastikan pengguna tidak dimanipulasi dengan harga tidak munasabah.
