Oleh Dr. Maisarah Nasution Waras
Setiap kali musim perayaan menjelma, langit Malaysia pasti dihiasi dengan percikan cahaya bunga api dan dentuman mercun yang membangkitkan suasana meriah. Namun di sebalik keindahan itu, tersembunyi risiko besar yang sering dipandang ringan oleh masyarakat. Insiden kebakaran melibatkan gerai mercun di Taman Pekaka, Nibong Tebal baru-baru ini menjadi peringatan jelas bahawa bahan piroteknik bukan sekadar hiburan. Letupan yang cukup kuat hingga merosakkan harta benda sekeliling membuktikan bahawa mercun boleh bertukar menjadi ancaman serius jika tidak dikendalikan dengan betul.
Ramai menganggap mercun hanyalah permainan ringan, sedangkan hakikatnya ia terdiri daripada campuran bahan kimia aktif seperti pengoksida dan bahan api yang sangat sensitif terhadap perubahan suhu dan persekitaran. Dalam iklim tropika Malaysia yang panas, suhu dalam ruang tertutup seperti stor atau bonet kereta boleh meningkat dengan cepat. Keadaan ini boleh mencetuskan fenomena “pemanasan sendiri” (self-heating), di mana bahan kimia dalam mercun mula terurai dan menghasilkan haba. Jika disimpan dalam kuantiti besar tanpa pengudaraan yang baik, haba tersebut boleh terperangkap dan akhirnya mencetuskan letupan spontan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa simpanan mercun secara pukal di kawasan kediaman ibarat “bom jangka” yang hanya menunggu masa untuk meletup.
Selain risiko letupan, kesan terhadap kesihatan juga tidak kurang membimbangkan. Asap mercun mengandungi partikel halus PM2.5 yang cukup kecil untuk memasuki paru-paru dan seterusnya ke dalam aliran darah. Bagi individu yang menghidap asma atau alahan, pendedahan ini boleh mencetuskan serangan pernafasan secara tiba-tiba. Dalam masa yang sama, warna-warna menarik dalam bunga api sebenarnya datang daripada logam seperti barium, strontium dan kuprum.
Sisa logam ini tidak mudah terurai dan boleh mendap di persekitaran rumah, termasuk pada lantai dan permainan kanak-kanak. Pendedahan berulang dalam jangka panjang boleh membawa kepada pengumpulan toksik dalam badan, sekali gus menjejaskan sistem saraf dan organ dalaman. Malah, dentuman kuat mercun yang boleh melebihi 140 desibel berupaya merosakkan gegendang telinga dan menyebabkan masalah pendengaran kekal seperti tinnitus.
Dalam semua ini, golongan kanak-kanak merupakan pihak yang paling berisiko. Sistem pernafasan mereka yang masih berkembang menjadikan mereka lebih mudah terjejas oleh pencemaran udara, manakala rasa ingin tahu yang tinggi tanpa kefahaman tentang bahaya meningkatkan kemungkinan berlakunya kecederaan serius. Kes kehilangan anggota badan atau kecacatan kekal akibat mercun bukanlah sesuatu yang asing. Lebih menyedihkan, kesan tersebut bukan sahaja bersifat fizikal, tetapi turut memberi impak jangka panjang terhadap masa depan dan kualiti hidup mereka.
Justeru, pilihan yang lebih bijak perlu menjadi keutamaan. Penggunaan mercun seharusnya terhad kepada produk yang diluluskan dan dikategorikan sebagai berisiko rendah oleh pihak berkuasa. Mercun haram atau buatan sendiri wajar dielakkan sama sekali kerana komposisinya yang tidak stabil dan sukar dikawal. Dari sudut penyimpanan pula, mercun perlu diletakkan jauh daripada sumber haba dan bahan mudah terbakar, serta di kawasan yang mempunyai pengudaraan baik. Pada masa yang sama, sensitiviti terhadap komuniti juga penting. Penggunaan mercun yang kuat di kawasan kediaman, terutamanya yang melibatkan bayi, warga emas atau individu berpenyakit, perlu dielakkan sebagai tanda hormat terhadap kesejahteraan bersama.
Keselamatan dalam hal ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu individu semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama komuniti. Aktiviti penyimpanan atau penjualan mercun secara besar-besaran di kawasan kediaman perlu dipandang serius dan tidak dinormalisasikan. Masyarakat juga digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. Prinsip pencegahan di peringkat awal amat penting bagi mengelakkan tragedi yang boleh meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.
Akhirnya, perayaan seharusnya menjadi simbol kegembiraan, bukan ancaman. Cahaya mercun mungkin hanya bertahan beberapa saat, tetapi kesannya boleh berpanjangan terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Sudah tiba masanya kita beralih kepada cara sambutan yang lebih selamat dan bertanggungjawab. Dalam keterujaan menyambut perayaan, jangan sampai kita terlepas pandang bahawa yang paling berharga bukanlah dentuman yang sementara, tetapi keselamatan keluarga, kesihatan anak-anak, dan keharmonian komuniti yang berpanjangan.

Dr. Maisarah Nasution Waras ialah Pensyarah Universiti di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia
