JOHOR BAHRU, 17 Okt (Bernama) — Rangkaian restoran makanan segera tempatan Marrybrown menyasarkan pembukaan 30 cawangan baharu di seluruh negara pada 2027 bagi memperluas operasi dan mengukuhkan kedudukannya dalam industri makanan segera.
Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown Malaysia Daniel Chan Lek Seong berkata syarikat itu kini mempunyai kira-kira 300 cawangan di Malaysia, dengan Johor mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu sekitar 100 cawangan.
Beliau berkata Johor kekal sebagai pasaran penting bagi syarikat itu memandangkan Marrybrown berasal dari negeri berkenaan.
“Marrybrown kini mempunyai kira-kira 300 cawangan di Malaysia, dengan Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sekitar 100 cawangan memandangkan jenama itu berasal dari negeri berkenaan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri perasmian Program Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (Road to FIM2027) di sini semalam.
Daniel berkata syarikat itu turut merancang memperluas rangkaiannya di Johor seiring perkembangan ekonomi negeri, termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Di peringkat antarabangsa, Marrybrown yang mempunyai kira-kira 500 cawangan di 16 negara termasuk Malaysia, turut merancang meneroka pasaran baharu seperti Kemboja dan Mesir.
Beliau berkata cawangan pertama Marrybrown di Kemboja dijadual dibuka pada November ini, dengan kerja pengubahsuaian premis sedang dijalankan.
Syarikat itu menyasarkan untuk memasuki antara tiga hingga lima pasaran negara baharu setiap tahun, bergantung pada peluang perniagaan yang dikenal pasti.
Daniel berkata usaha mengembangkan perniagaan ke luar negara turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi berkaitan dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) bagi memperkukuh kehadiran jenama tempatan di pasaran global.
Beliau berkata kira-kira 90 peratus bahan mentah yang digunakan oleh Marrybrown diperoleh daripada pembekal tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus menyokong rantaian bekalan domestik.
Katanya, syarikat itu juga mengekalkan harga menu buat masa ini dengan memberi keutamaan kepada penawaran makanan pada harga berpatutan kepada pengguna.
