KOTA TINGGI, 22 Sept – Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai dicampak ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini semalam.
Perintah reman bermula hari ini hingga 28 Sept itu dikeluarkan Hakim Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Sesyen di sini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek berusia 37 tahun itu dibawa ke mahkamah kira-kira 9 pagi hari ini selepas menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi. Dia hadir dengan berpakaian kemeja-T biru dan diiringi anggota polis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 9.30 pagi semalam.
Menurutnya, suspek dipercayai mencampakkan mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun dengan bersenjatakan parang.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, berlaku pergelutan antara polis dengan suspek hingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan, namun suspek berjaya ditahan,” katanya.
Yusof berkata pembantu pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan kematian kanak-kanak itu.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat hari ini.
Beliau berkata suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
